Dagangan ringgit dijangka kekal tidak menentu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dijangka kekal tidak menentu

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berdepan satu lagi sesi urus niaga tidak menentu pada minggu depan berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus menjejaskan tarikan unit tempatan itu.

Walaupun elemen makroekonomi kekal kukuh, seorang penganalisis berkata prestasi ringgit sebaliknya terus diasak oleh perkembangan luaran.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell akan berucap pada Simposium Jackson Hole pada 26 Ogos ini yang dijangka memberi impak besar ke atas mata wang negara-negara sedang pesat membangun.

"Kenyataannya akan memberi petunjuk baharu kepada pelabur mengenai hala tuju bank pusat AS itu dalam perkara berkaitan kadar faedah serta inflasi. Minit mesyuarat pada Julai yang diumumkan hanya menunjukkan kewajaran bagi kenaikan kadar faedah apabila inflasi terus memberi risiko ke atas ekonomi," katanya kepada Bernama.

AS juga dijangka mengumumkan unjuran kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua (KDNK) pada 25 Ogos ini.

Menurut unjuran Biro Analisis Ekonomi, KDNK AS susut pada kadar faedah 0.9 peratus dalam suku kedua dan turun 1.6 peratus pada suku pertama.

Penganalisis ActivTrades, Alexander Londono, berkata angka perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS yang bakal diumumkan pada 24 Ogos, juga merupakan petunjuk inflasi yang menjadi pilihan Fed.

"Jika angka PCE cenderung meningkat, perbandingan dolar AS/ringgit mungkin naik ke paras 4.50. Sebaliknya jika susut, paras 4.45 sekali lagi boleh menjadi sokongan sekiranya dolar AS/ringgit terus merosot," katanya.

Selain itu, pelabur juga dalam proses menerima pelbagai perkembangan kurang memberangsangkan pada minggu ini, termasuk tindakan tidak dijangka People's Bank of China mengurangkan kadar dasar utamanya untuk kali pertama sejak Januari.

Ia bertindak menurunkan kadar pinjaman jangka sederhana selama setahun sebanyak 10 mata asas kepada 2.75 peratus ketika China terus bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Selain itu, data lain menunjukkan pembinaan kediaman baharu di AS mencecah paras terendah dalam tempoh 18 bulan pada Julai dan membuktikan ketidaktentuan pasaran hartanah yang berpotensi memburukkan lagi inflasi.

Pada Khamis, beberapa perkembangan menyuntik sentimen positif termasuk tuntutan pengangguran AS yang susut kepada 250,000 minggu lalu berbanding 252,000 pada minggu sebelumnya, sekali gus menunjukkan ketidaktentuan pasaran yang kekal ketara.

Faktor-faktor terbabit telah meletakkan ringgit dalam sentimen negatif untuk lima hari berturut-turut dengan nilainya kekal di paras terendah sejak Januari 2017.

Pada Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.4760/4795 daripada 4.4435/4455 pada minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan lebih mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2767/2795 daripada 3.3292/3310 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3126/3167 daripada 5.3975/3999.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.2225/2254 daripada 3.2406/2428 minggu lepas dan naik berbanding euro kepada 4.5069/5104 daripada 4.5759/5780.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini