Ringgit jatuh lima hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh lima hari berturut-turut

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah selepas terjejas oleh pengukuhan berterusan dolar Amerika Syarikat (AS) susulan pengeluaran minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) yang membayangkan bahawa bank pusat itu akan terus menaikkan kadar faedahnya.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan ditutup pada 4.4760/4795 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4720/4750 pada Khamis.

Ringgit mencatatkan aliran menurun selama lima hari berturut-turut dengan nilainya kekal paling rendah sejak Januari 2017.

Seorang peniaga berkata, dolar AS melonjak di seluruh pasaran dengan Indeks Dolar AS meningkat kira-kira 0.4 peratus kepada 107.86 mata.

Menurutnya, pelabur mengharapkan ekonomi AS dapat mengelakkan kemelesetan selepas data tuntutan pengangguran awal merosot kepada 250,000 minggu lepas, turun daripada semakan semula 252,000 yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ringgit, bagaimanapun meningkat berbanding euro dan pound Britain selepas inflasi zon Eropah mencecah paras tertinggi baharu pada 8.9 peratus tahun ke tahun pada Julai, yang tertinggi dalam tempoh 25 tahun.

Sementara itu, inflasi di Jerman meningkat kepada 8.5 peratus pada Julai.

Keseluruhannya, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5069/5104 daripada 4.5471/5502 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3126/3167 daripada 5.3959/3995 pada Khamis.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2767/2795 daripada 3.3077/3102 dan menokok sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2225/2254 daripada 3.2371/2397 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini