Ringgit hampiri RM4.50 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit hampiri RM4.50 berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengalami penurunan untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, berikutan kekurangan pemangkin baharu.

Pada 9.39 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.4860/4890 berbanding dolar AS daripada 4.4855/4870 ketika ditutup pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pergerakan meningkat yang kukuh baru-baru ini telah melonjakkan dolar AS sehingga paras tertinggi yang dicatatkan pada 2020 berbanding ringgit, iaitu 4.4500, dan kini mata wang itu bergerak menuju ke paras tertinggi yang pernah direkodkan pada 2017 iaitu 4.500.

"Pelabur akan mempunyai pandangan lebih baik terhadap pasaran selepas data Jualan Rumah Baharu AS bagi Julai dikeluarkan (jangkaan sebanyak 575,000) yang akan memberikan gambaran mengenai sektor hartanah negara itu," katanya.

Beliau berkata dari sudut pandang teknikal, dolar AS/ringgit mungkin menjejaki semula penurunan dalam beberapa minggu akan datang selepas mengalami pergerakan meningkat yang ketara sejak beberapa bulan lalu.

"Paras rintangan utama pada carta harian adalah 4.5000, yang menghampiri paras tertinggi sepanjang masa dolar AS/ringgit. Jika kadar itu menembusi bawah 4.4700, mungkin ada ruang untuk penurunan lebih besar kepada lingkungan 4.3600 dalam beberapa minggu," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.4595/4625 daripada 4.4886/4901 ketika ditutup semalam dan tinggi berbanding pound British kepada 5.2805/2836 daripada 5.2947/2965.

Ringgit stabil berbanding yen Jepun kepada 3.2661/2685 daripada 3.2786/2800 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2182/2129 daripada 3.2147/2163.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini