Ringgit berbanding dolar Singapura di paras terendah dalam sejarah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berbanding dolar Singapura di paras terendah dalam sejarah


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit berbanding dolar Singapura masih berlegar di paras terendah dalam sejarah sekitar RM3.32 hingga RM3.35 setiap satu dolar.

Nilai terendah harian ringgit berbanding mata wang republik itu dicatat pada Isnin lalu iaitu 3.3507.

Kadar tukaran berkenaan juga ternyata jauh lebih rendah berbanding ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia pada 1997 lalu.

Pada ketika itu nilai terendah ringgit berbanding dolar Singapura adalah 2.737 yang catat pada 7 Januari 1998.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, berkata pengukuh dolar Singapura selaras dengan dolar Amerika Syarikat (AS) adalah kerana sebagai ekonomi yang terbuka dan kecil, Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) menggunakan kadar tukaran asing berbanding kadar faedah sebagai alat dasar monetari di negara itu.

Beliau menjelaskan bagi menguruskan peningkatan inflasi terutama kejutan semasa harga makanan dan minyak, Singapura telah mengukuhkan mata wangnya.

Jelasnya, ia berbeza dengan langkah yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggunakan kadar faedah untuk menguruskan pertumbuhan dan inflasi kerana ia lebih berkesan dalam mengawal permintaan domestik dan keadaan kewangan di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak boleh mempertahankan atau menetapkan kadar pertukaran ringgit tanpa mengambil risiko besar kerugian pertukaran asing seperti yang berlaku kepada Thailand dan Korea Selatan semasa Krisis Kewangan Asia 1998.

"Sebahagian besar kelemahan ringgit adalah disebabkan oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang bertambah kukuh apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi yang berterusan tinggi melanda ekonomi AS," katanya kepada BH bagi mengulas punca kelemahan ringgit berbanding dolar Singapura.

Sementara itu, Ahli Ekonomi MIDF Research, Zafri Zulkeffeli pula menjelaskan penting untuk dinyatakan bahawa fokus utama dasar monetari Singapura adalah mengawal prestasi mata wang dolar Singapura berbanding negara-negara lain.

Beliau berkata, bagi BNM pula, ia lebih berfokus kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi domestik iaitu dengan mengawal Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Katanya, dolar Singapura dan dolar AS mengukuh berbanding ringgit berikutan keadaan ekonomi AS yang bakal menyaksikan lagi sekali kenaikan kadar pinjaman sebanyak 75 mata asas daripada 3.25 peratus kepada 4.00 peratus.

Namun begitu, ringgit kekal lebih baik berbanding mata wang Asia lain kerana kekuatan makroekonomi domestik.

"Antaranya penurunan kadar pengangguran, kadar inflasi yang lebih rendah berbanding negara-negara lain, perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin baik dan paras harga komoditi global tinggi yang mana menyumbang kepada eksport minyak sawit, petroleum dan gas Malaysia," katanya.

Mengenai manfaat kelemahan ringgit, Zafri berkata, nilai ringgit yang lemah membantu aktiviti perdagangan antarabangsa khususnya pasaran eksport.

Namun begitu, beliau menjelaskan, kelemahan nilai ringgit akan meningkatkan kos import terutamanya kos makanan yang Malaysia bergantung dengan sumber dari luar negara dan secara tak langsung menyumbang kepada kenaikan inflasi makanan negara.

Profesor Adjung Tun Abdul Razak School of Government (TARSOG) Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Zulkiply Omar, berkata dolar Singapura menjejaki tukaran asing dan bukan kadar faedah.

Beliau berkata, pergerakan mata wang negara republik itu akan sejajar dengan dolar AS memandangkan AS adalah rakan dagang terbesar Singapura.

"Pergerakan dolar Singapura akan sejajar dolar AS dan jika dolar AS kukuh, dolar Singapura juga mengukuh.

"Pengukuhan dolar Singapura berbanding ringgit dijangka tidak memberi kesan ketara dalam jangka pendek. Kelemahan ringgit memberi manfaat kepada eksport," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini