Ringgit naik sedikit berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit naik sedikit berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka agak tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kedua berturut-turut di tengah-tengah sentimen pasaran yang lemah, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi 30 September 2022, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.6350/6395 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada paras 4.6380/6425.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pelabur terus menjauhi aset berisiko seperti saham dan mata wang lain dan mencari perlindungan dengan mendapatkan dolar AS serta bon kerajaan AS.

Beliau turut menjelaskan, pasaran tukaran asing banyak dipengaruhi oleh pengeluaran data pekerjaan di AS dan inflasi yang meruncing di Jerman.

"Di AS, data Tuntutan Pengangguran Awal yang lebih rendah daripada jangkaan menunjukkan pasaran buruh adalah kukuh kerana ia bergerak pada tahap yang sama seperti yang dilihat sebelum pandemik.

"Pasaran pekerjaan yang kukuh memberi ruang kepada Rizab Persekutuan AS untuk mengetatkan lagi dasar kewangan selanjutnya melalui kenaikan kadar faedah," katanya dalam nota.

Diniz menambah, kadar inflasi di Jerman kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh lebih 50 tahun, sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang ekonomi Kesatuan Eropah.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan terus menyusut berbanding euro kepada 4.5544/5588 daripada 4.4951/4995 pada penutupan urus niaga Khamis, lega berbanding pound Britain menjadi 5.1736/1786 daripada 5.0392/0441 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2358/2394 daripada 3.2228/2264 sebelumnya.

Namun begitu, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2034/2067 daripada 3.2050/2084 pada penutupan urus niaga semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini