Ringgit terus susut, RM4.67 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut, RM4.67 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari selasa  sejajar dengan kebanyakan mata wang Asia, berikutan pengukuhan daya tarikan dolar AS sebagai mata wang selamat, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang Selasa, mata wang tempatan jatuh kepada 4.6720/6745 berbanding dolar AS daripada 4.6480/6520 yang dicatatkan semasa Jumaat lalu.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit terus lemah selepas pengeluaran data gaji Amerika Syarikat (AS) susulan hasil global yang lebih tinggi telah mencetuskan sentimen terhadap aset yang kurang risiko termasuk melonjakkan permintaan terhadap dolar AS yang lebih selamat.

Menurut Jabatan Buruh AS, gaji bukan ladang menokok sebanyak 263,000 pada September manakala data pengangguran juga adalah lebih mantap pada 3.5 peratus berbanding unjuran 3.7 peratus, ini memberi kelebihan kepada dolar AS.

Innes berkata, mata wang pengeksport serantau seperti ringgit terjejas secara negatif oleh kebimbangan terhadap permintaan import China ketika kes COVID mula bertambah di negara berkenaan.

"Akhbar Parti Komunis China, People's Daily menyiarkan komentar yang mendedahkan dasar COVID Zero adalah 'mampan', menunjukkan bahawa negara itu mungkin akan meneruskan langkah sedia ada atau menggandakannya bagi mencegah penularan COVID pasca Minggu Emas.

"Penurunan harga minyak juga memberi kesan negatif kepada mata wang pengeksport minyak seperti ringgit," katanya kepada Bernama.

Beliau juga menekankan penetapan yuan China (CNY) pada 7.1075 berbanding dolar AS adalah kejutan utama memandangkan pasaran menjangkakan Bank Rakyat China akan mengekalkan penetapan di bawah 7.1000.

"Ini menyebabkan kedudukan melonjak di atas paras 7.1700 selepas dibuka berikutan pembelian dolar AS yang kukuh semasa ditutup semalam. Memandangkan hubungan ringgit yang agak rapat dengan CNY, ringgit mula bergelut," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.1607/1635 daripada 5.2132/2177 dan adalah lebih baik berbanding euro kepada 4.5314/5338 daripada 4.5574/5613 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2472/2491 daripada 3.2529/2559 serta mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2059/2079 daripada 3.2084/2116.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini