Cara Untuk Berdisiplin dalam Perdagangan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Cara Untuk Berdisiplin dalam Perdagangan


Kejayaan dalam perdagangan bergantung pada banyak faktor. Ia bukan sahaja melibatkan kepintaran teori, kefahaman analisis fundamental dan teknikal, pembelajaran berterusan dan menimba pengalaman, tetapi juga kestabilan psikologi dan emosi. Untuk mencapai semua di atas, anda perlu menambah hanya satu unsur yang hilang daripada teka-teki ini — disiplin.

Mari kita pelajari bersama-sama mengapa disiplin dalam perdagangan begitu penting dan bagaimana cara untuk mencapainya.

Apakah itu disiplin dalam perdagangan?

Secara umumnya, definisi disiplin boleh dsimpulkan sebagai pengulangan beberapa tindakan yang disengajakan untuk mencapai kecemerlangan. Selalunya tindakan ini sukar dan tidak menyenangkan, dan ia memerlukan sedikit usaha.


Justeru, dua komponen disiplin tersebut ialah:

- mempunyai matlamat;

= keupayaan untuk melakukan tindakan yang tidak semestinya menyenangkan.

Disiplin adalah asas bagi mana-mana kerja yang berjaya, dan tidak terkecuali dalam perdagangan juga. Ia adalah, pertama sekali, mengikuti prinsip-prinsip strategi perdagangan dan pengurusan risiko yang digariskan oleh sang pedagang itu sendiri. Selalunya, perubahan di pasaran boleh membawa kepada keputusan dan tindakan yang tergesa-gesa yang didorong oleh intensiti emosi pada ketika itu. Dalam keadaan ini adalah sangat penting untuk mengekang impuls tersebut dan mengikuti rancangan yang telah ditentukan, iaitu untuk menjaga disiplin.

Mengapa penting untuk berdisiplin dalam perdagangan?

Seperti yang kita tahu, intipati perdagangan adalah untuk menganalisis pasaran secara berterusan untuk membuat urusniaga yang paling menguntungkan. Berdasarkan analisis ini, pedagang merangka strategi beliau, dengan mengambil kira matlamat dan kepentingan beliau sendiri, serta pengalaman para profesional yang terdahulu.

Disiplin penting seawal peringkat penyelidikan, apabila asas teori mesti diterokai dengan objektif dan metodikal sebelum beralih ke amali. Kelompongan dalam pengetahuan yang berlaku disebabkan oleh kemalasan atau tergesa-gesa boleh membawa kepada natijah yang buruk.

Selepas anda membina asas teori anda, apabila anda sudah cukup yakin, anda boleh meneruskan dengan berlatih. Dalam kes ini, disiplin membantu anda mematuhi strategi yang telah anda bangunkan untuk diri sendiri dan tidak tergoda untuk menyimpang dari jalur tersebut.

Di samping itu, sepanjang kerjaya seseorang pedagang, mereka perlu terus belajar, meneroka peluang-peluang baru, dan menganalisis kejayaan dan kegagalan mereka sendiri. Hanya pendekatan yang berdisiplin untuk memperbaiki diri mampu membawa anda kepada kejayaan.


Apakah kesan apabila tidak berdisiplin dalam perdagangan?

Pertama sekali, disiplin membantu pedagang mengawal emosi, kerana keputusan yang terburu-buru membawa kepada kesilapan. Untuk gambaran yang lebih jelas, mari kita lihat apa akibat-akibat yang boleh terjadi kesan dari kesilapan tersebut.

Terlebih berdagang (Overtrading)

Overtrading adalah salah satu kesilapan yang paling biasa dilakukan oleh kedua-dua kategori pedagang, iaitu pedagang pemula dan pedagang yang berpengalaman. Intipati fenomena ini, seperti yang anda boleh teka dari namanya, adalah berdagang secara berlebihan. Iaitu, pedagang sama ada membuat terlalu banyak urusniaga yang bukan sebahagian daripada pelan perdagangan, atau membuka urusniaga yang risikonya lebih tinggi daripada yang boleh diterima. Dan ini, lumrahnya, akan membawa kepada kerugian.

Kesilapan ini seringkali disebabkan oleh penyimpangan daripada strategi perdagangan, apabila pedagang tidak mengikuti peraturan yang mereka cipta untuk diri mereka sendiri.

Berurusniaga dengan cuai

Kesilapan ini sangat lazim di kalangan pemula, tetapi tiada siapa yang kebal terhadapnya. Sebarang operasi perdagangan haruslah berlandaskan data analisis, bukan kerana impuls angin nafsu. Namun ada situasi bila mana pedagang kalah dengan godaan dan membuat transaksi dengan terburu-buru.

Sebarang pembelian atau penjualan sekuriti hendaklah dibuat selepas menganalisis situasi sejajar dengan pelan perdagangan. Jika tidak, perdagangan akan menjadi satu kerja yang sia-sia dan merugikan.

Memilih masa yang salah untuk berurusniaga

Manusia berkecenderungan untuk tamak, mahu mendapatkan segala-galanya sekali gus, dan pedagang juga tidak terkecuali. Oleh itu, apabila pedagang melihat peluang, walaupun ia tidak sesuai dengan strategi, mereka cuba berusaha untuk memanfaatkannya tanpa memikirkan akibatnya. Mungkin sangat sukar untuk kita mengalihkan fokus setelah melihat pergerakan tertentu di carta, tetapi ketamakan jarang berakhir dengan baik.

Di sini kami terpaksa mengulangi perkara yang sama yang sudah kita bincangkan sepanjang artikel ini. Bersabar dan patuhilah strategi anda, percayakan keputusan anda dan diri anda berdasarkan analisis.


Bagaimana untuk memupuk disiplin dalam perdagangan?

Jadi bagaimana anda boleh meningkatkan disiplin perdagangan dan mengawal diri untuk mengelakkan kesilapan-kesilapan di atas? Berikut senarai tips daripada mereka yang telah berjaya.

Memisahkan diri dari majoriti

Dalam perdagangan, sentiasa ada godaan untuk mengikuti majoriti. Jika semua orang berdagang dan mereka mencatat keuntungan, maka anda juga akan membuat keuntungan, benar? Salah.

Jika semua orang melakukan perkara yang sama, walaupun ia mungkin kelihatan seperti perkara yang betul untuk dilakukan, ia akhirnya akan menggerakkan pasaran, yang secara positifnya akan membawa kepada kegagalan. Oleh itu, sentiasa berfikir untuk diri sendiri dan menganalisis pasaran dengan teliti.

Gunakan pelan perdagangan anda

Apabila anda mencipta pelan perdagangan, anda melakukannya dengan bersebab. Setiap pelan perdagangan pedagang mesti benar-benar individu dan mengambil kira faktor-faktor seperti matlamat anda secara khusus, persepsi risiko dan gaya hidup individu. Cuba untuk tidak terlepas pandang apa-apa yang boleh memberi kesan kepada perdagangan anda.

Walau bagaimanapun, pelan perdagangan hanya akan cukup berkesan jika anda mematuhinya dengan tepat.

Elakkan perkara yang jelas dalam perdagangan

Jika anda melihat sesuatu yang jelas akan membawa keuntungan, besar kemungkinan orang lain juga turut nampak perkara yang sama. Dan jika orang ramai berpusu-pusu merebut peluang itu, anda tidak akan mendapat apa-apa.

Buat peraturan dan patuhinya

Anda mencipta peraturan perdagangan untuk menyelamatkan diri anda daripada banyak masalah sekiranya pasaran berpatah balik melawan anda. Tiada gunanya membangunkan strategi yang anda gunakan hanya apabila semuanya berjalan lancar. Teruskan mematuhi peraturan, walaupun situasi tampak seperti semakin di luar kawalan. Inilah yang akan menjaga anda daripada mendapat lebih banyak masalah.

Awas dengan amaran

Kita semua sudah terbiasa berharap semoga semuanya akan baik-baik sahaja. Tetapi dalam perdagangan, adalah berbaloi untuk menyingkirkan perasaan tersebuit, terutamanya jika anda melihat petanda-petanda dan signal yang menunjukkan kerugian berpotensi menerpa. Anda tidak boleh mengabaikan amaran ini dan memilih untuk mengandalkan harapan kosong.

Jangan pedulikan "sifu" (market gurus)

Sifu perdagangan mengisytiharkan bahawa mereka telah menguasai bidang ini dengan sempurna dan bersedia untuk mengajar anda perkara yang sama. Malah, mereka mahu mempergunakan anda untuk meningkatkan keuntungan mereka, dan anda sendiri akan ditinggalkan dengan poket yang kosong. Oleh itu, janganlah anda percayakan sembang besar mereka.

Susun masa lapang anda

Adalah perlu membangunkan bukan sahaja pelan tindakan kerja, tetapi juga pelan rehat. Adalah mustahil untuk terlibat dalam perdagangan sepanjang masa dan mengawal keadaan tanpa kehilangan fokus. Beri diri anda masa untuk berehat supaya anda boleh beraksi dengan segar dan bersemangat.

Jangan cuba untuk menebus kerugian

Malangnya, perdagangan memang terkait dengan risiko dalam apa jua keadaan, jadi tiada siapa yang kebal terhadap penyusutan baki akaun (drawdown). Katakanlah anda gagal, dan anda fikir anda perlu untung hanya sedikit sahaja lagi. Jika anda terus degil mengejar perkara tersebut, anda tidak akan untung apa-apa, tetapi hanya kehilangan wang lagi dan lagi. Dalam keadaan seperti itu, adalah sangat penting untuk terus memastikan kepala dan dada anda dingin dan tidak dikuasai emosi. Percayakan strategi anda dan patuhinya.

Gunakan gerak hati anda

Bukan algoritma matematik sahaja yang penting dalam perdagangan, tetapi juga keupayaan untuk berfikir di luar kotak. Semasa anda mengembangkan kemahiran analisis anda, jangan lupa untuk mendengar gerak hati (naluri) anda.

Gunakan perkakas kerja anda dengan bijak

Anda boleh menggunakan mana-mana platform perdagangan agar ia memanfaatkan anda. Biasakan diri anda dengan pelbagai ciri yang ada di dalam MetaTrader 4 dan MetaTrader 5 dan kemudian terapkan dalam operasi anda. Ada pelbagai jenis alat bantuan kerja yang boleh menjadikan kehidupan pedagang lebih mudah dan melaksanakan fungsi mereka tanpa campur tangan pedagang.

Tetapi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada mesin yang tidak berakal dan jiwa. Pertama sekali, anda bertanggungjawab untuk membuat keputusan anda sendiri, dan perisian hanya melaksanakan perintah-perintah anda.

Buang mentaliti makan gaji

Kita sudah terbiasa dengan waktu kerja tertentu yang dibalas secara konsisten dengan gaji. Tetapi jangan berharap untuk dapat mengekalkan status quo ini apabila bergiat sebagai seorang pedagang. Seorang pedagang tidak mempunyai gaji yang stabil. Biasakan diri dengan idea di mana bajet anda untuk tahun ini akan bergantung pada hanya beberapa hari yang terbaik di pasaran.

Reda dengan potensi kerugian

Bagi kebanyakan pedagang, bahagian yang paling sukar dalam perdagangan adalah keupayaan untuk berhadapan dengan kerugian. Walau bagaimanapun, anda perlu menerima bahawa perdagangan yang rugi adalah lumrah yang tidak dapat dielakkan. Malah, kemenangan besar jauh lebih jarang berlaku berbanding kerugian yang kecil. Ini salah satu bentuk interaksi pasaran yang alamiah. Setiap kerugian adalah pengajaran baru yang anda boleh pelajari dan gunakan untuk kelebihan anda pada masa akan datang.

Awas dengan riak, takbur, dan ujub

Apabila anda diselubungi oleh euforia kejayaan anda sendiri, anda mula melihat perdagangan dengan cara yang berbeza. Beberapa bulan yang menguntungkan membuat anda berasa megah, dan anda mula percaya bahawa anda akhirnya telah menguasai perdagangan dan pasaran kini melutut di bawah ihsan kata telunjuk anda.

Tetapi sejarah mengajar kita bahawa kuasa yang besar datang bersama tanggungjawab yang besar. Jika anda tidak mengawasi urusniaga anda dengan teliti, keadaan akan menjadi tidak terkawal, dan anda akan terpeleset dan berguling ke lembah, kembali ke petak mula.

Elakkan hingar bingar pasaran

Harga di pasaran sentiasa berubah, kadang-kadang sebagai sebahagian daripada trend, dan kadang-kadang terdapat turun naik yang sementara dan kecil, nah, itulah dia hingar pasaran (market noise). Anda tidak patut bertindak balas terhadap setiap pergerakan kecil pada harga. Belajar untuk membezakan hingar tersebut daripada signal yang benar-benar penting.

Kesimpulan

Laluan yang ditempuh para pedagang tidak semuanya mudah dan jelas. Lambat laun kita semua akan membuat kesilapan dan kecewa.

Namun, anda boleh mengambil pengajaran daripada setiap kesilapan tersebut. Pengalaman ini membolehkan kita maju ke hadapan dan berkembang. Kesabaran dan disiplin dalam perdagangan akan membantu anda, bukan sahaja untuk mengukuhkan kedudukan anda sebagai pedagang, tetapi juga untuk mengekalkannya tanpa tunduk kepada emosi yang impulsif.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini