Harga minyak berpotensi naik semula ke paras AS$100 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak berpotensi naik semula ke paras AS$100


KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah dunia boleh meningkat kembali kepada AS$100 setong berikutan Russia menyekat bekalan, demikian mengikut Forum Tenaga Antarabangsa (IEF).

"Ia adalah kisah dua pasaran," kata Setiausaha Agung IEF, Joe McMonigle kepada Bloomberg TV.

"Pasaran fizikal adalah sangat sengit. Pasaran atas kertas pula sedang mengambil kira berita ekonomi buruk dan kemelesetan ekonomi yang teruk," katanya.

Pakar Sejarah Tenaga Daniel Yergin berkata Russia mungkin mula menurunkan eksport minyak sekiranya Barat mengetatkan sekatan.

"Presiden Russia, Vladimir Putin telah menggunakan gas sebagai senjata," kata Yergin kepada Bloomberg TV.

"Adakah beliau akan menggunakan minyak sebagai senjata? Mungkin ada kepentingannya untuk menyekat bekalan dan melihat harga naik. Anda tidak perlu mengambil jumlah yang banyak untuk mencetuskan panik di pasaran."

Pelaburan huluan minyak dan gas perlu meningkat dan kekal pada tahap hampir sebelum COVID sebanyak AS$525 bilion hingga 2030 untuk memastikan keseimbangan pasaran, menurut IEF.

Syarikat minyak dan gas terbesar dunia serta menteri tenaga dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan India akan bertemu di Abu Dhabi minggu ini dari 31 Oktober hingga 3 November, susulan keputusan OPEC+ untuk mengurangkan pengeluaran.

Harga minyak telah meningkat sejak dua minggu lalu, dengan Brent didagangkan hampir AS$94 setong.

Sementara itu, OPEC telah menaikkan ramalannya untuk permintaan minyak jangka panjang dan mengulangi gesaannya untuk pelaburan baharu dalam bahan api fosil.

"Jumlah keseluruhan pelaburan bagi sektor minyak ialah AS$12.1 trilion hingga 2045," kata Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais pada persidangan di UAE, seperti yang dipetik oleh Reuters.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini