Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar AS minggu depan

 


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dijangka terus terencat serta lemah berbanding dolar AS pada minggu hadapan akibat daripada tekanan luaran dan faktor domestik, kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes, berkata ringgit mungkin menuju ke paras 4.74 hingga 4.76, tertakluk kepada momentum dolar AS termasuk pengaruh faktor luaran yang akan memacu momentum yang mana, mata wang pasaran sedang pesat membangun, secara amnya, terus berada di bawah tekanan.

"Minggu depan mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan nilai ringgit melainkan gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) malam ini berada di bawah unjuran.

"Tetapi yang lebih kritikal, peniaga pertukaran asing sedang menunggu indeks harga pengguna AS pada 10 Nov ini dengan harapan inflasi AS mungkin berkurangan dan pasaran kemudian menjangkakan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) menjadi lebih rendah yang kemudiannya, menguntungkan ringgit," katanya.

Innes ketika mengulas mengenai kesan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terhadap ringgit berkata mata wang tempatan itu akan bertindak balas secara negatif kerana ia cenderung lemah selepas pilihan raya dan dalam kes-kes tertentu, sebahagiannya disebabkan keadaan ekonomi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pengundian bagi PRU15 akan diadakan menjelang 19 Nov, manakala tarikh penamaan calon pada 5 November, yang membolehkan mereka berkempen selama dua minggu.

Secara mingguan, ringgit menyusut pada Jumaat berbanding dolar AS kepada 4.7460/7495 daripada 4.7225/7275 yang disaksikan semasa minggu sebelumnya.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan bercampur-campur dari Jumaat hingga Jumaat.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3517/3546 daripada 3.3436/3474 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.2111/2137 daripada 3.1976/2012.

Ringgit menokok berbanding pound British kepada 5.3231/3270 daripada 5.4455/4513 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6383/6417 daripada 4.7008/7058.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini