Ringgit lonjak lebih 3.0 peratus dalam tempoh seminggu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lonjak lebih 3.0 peratus dalam tempoh seminggu


KUALA LUMPUR: Ringgit mempamerkan prestasi yang memberangsangkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak seminggu apabila meningkat lebih 3.0 peratus untuk berada pada paras 4.583.

Mata wang tempatan tempatan itu mencatat paras terendah pada 4 November lalu kepada 4.7475, sebelum melantun semula dengan ketara dalam tempoh hampir enam hari berturut-turut untuk berada pada 4.583 berbanding dolar AS atau dengan kenaikan kira-kira 3.45 peratus.

Prestasi ringgit berbanding dolar AS sejak Isnin minggu lalu hingga ke hari ini adalah yang kedua terbaik dalam kalangan negara ASEAN selepas bath Thailand yang meningkat 4.11 peratus.

Secara umumnya, mata wang negara ASEAN mencatat peningkatan berbanding dolar AS dengan dolar Singapura naik 2.243 peratus; peso Filipina (+1.663 peratus); rupiah Indonesia (+1.347 peratus) dan dong Vietnam (+0.503 peratus).

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar AS disokong data pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku ketiga yang kukuh dari jangkaan.

"Ringgit mengukuh 1.59 peratus kepada 4.623 dan didagangkan dalam julat 4.609 hingga 4.6946," katanya dalam nota penyelidikan.

Dass berkata, AmResearch menjangkakan pertumbuhan keseluruhan untuk 2022 berada pada 8.5 peratus hingga 9.0 peratus dengan suku keempat, keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjurkan berlegar sekitar 6.0 hingga 8.0 peratus, disokong terutamanya oleh penggunaan swasta, perdagangan luar dan kesan asas yang rendah.

"Untuk 2023, kami melihat pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 4.5 peratus kerana risiko penurunan menjadi lebih ketara," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, berkata KDNK setahun penuh Malaysia dijangka berada pada sekitar 7.0 hingga 8.5 peratus, sekiranya momentum ekonomi sedia ada berterusan sehingga ke hujung tahun seterusnya menjadikan pertubuhan ekonomi adalah yang terbaik di ASEAN dan yang terbaik sejak Krisis Kewangan Asia.

"Akan tetapi, dari suku ke suku, pertumbuhan KDNK negara semakin berkurang sejak suku keempat 2021 disebabkan oleh pengurangan kesan asas (dissipating base effect). Saya berpandangan prestasi ekonomi Malaysia pada suku akhir tahun ini akan disokong oleh eksport bersih dan perbelanjaan swasta disebabkan oleh PRU15.

"Kami di Bank Islam menjangkakan pertumbuhan KDNK suku terakhir 2022 adalah sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus," katanya.

Firdaos berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku ketiga terbukti lebih kukuh berbanding ramalan pakar ekonomi disebabkan pembukaan ekonomi secara menyeluruh, kesan asas yang rendah dan dasar kerajaan yang efektif di dalam membendung inflasi.

"Kita bernasib baik kerana Malaysia adalah antara sebilangan kecil negara-negara di dunia yang dapat mengambil peluang untuk tingkatkan subsidi tatkala kenaikan harga minyak dunia.

"Selain itu, kerajaan juga tidak lagi 'flipflop' dalam pembukaan ekonomi seperti pada tahun lalu. Ini membolehkan kesemua faktor pengeluaran untuk kembali ke paras keseimbangan asalnya di mana semua sektor ekonomi menunjukkan peningkatan terutamanya sektor perkhidmatan (16.7 peratus) dan pembinaan (15.3 peratus).

"Malah, kadar pengangguran turun tanpa peningkatan inflasi yang mendadak adalah satu perkara yang memberangsangkan. Kadar pengangguran di Malaysia berkurangan secara berperingkat sejak ekonomi negara dibuka semula," katanya.

Penganalisis MIDF Research, Muhammad Zafri Zulkeffeli berkata, firma penyelidik Research telah menyemak naik jangkaan pertumbuhan KDNK daripada kepada 8.0 peratus berbanding 6.6 peratus bagi setahun penuh 2022, disokong perkembangan ekonomi domestik yang dilihat terus mengukuh dan dibantu dengan kestabilan inflasi dan penurunan kadar pengangguran.

"Sektor dagangan luar dijangka terus berkembang berikutan paras harga komoditi yang kekal tinggi dan permintaan luar terhadap barangan perkilangan Malaysia dilihat masih kukuh," katanya.

Mengenai pencapaian KDNK pada suku ketiga, Muhammad Zafri berkata, dari segi pertumbuhan tahunan, Malaysia mencatatkan peratusan pertumbuhan tertinggi dalam rantau ASEAN dengan pertumbuhan dua angka itu antaranya disebabkan nilai asas rendah.

"Bagaimanapun, prestasi ekonomi negara terus berkembang dengan baik khususnya pertumbuhan antara suku ketiga dan kedua mencatatkan positif iaitu 1.9 peratus suku ke suku. Pembukaan sempadan antarabangsa, penurunan kadar pengangguran, dasar fiskal dan monetari yang menyokong serta kadar inflasi yang stabil terus menyumbang kepada perkembangan positif ekonomi negara," katanya.

Ekonomi Malaysia berkembang luar biasa 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini