Bajet Mini beri sokongan positif kepada ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Bajet Mini beri sokongan positif kepada ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit 'berehat' seketika daripada pergerakan rancak semalam dan dibuka hampir tidak berubah pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), tetapi masih mendapat sokongan untuk mata wang tempatan kekal positif.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.4295/4365 berbanding dolar AS daripada 4.4250/4300 pada penutupan urus niaga Isnin.

Seorang peniaga berkata, sokongan terhadap ringgit akan kekal positif kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelaniaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

"Sentimen positif ini turut didorong oleh unjuran ekonomi yang mantap berikutan eksport yang kukuh dan lebihan dagangan untuk Malaysia serta harga minyak mentah yang bertambah baik akan terus menyokong ringgit," katanya.

Minggu ini, pelabur akan menumpukan pada data utama dari AS, antaranya Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan Disember, Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi dan Tuntutan Pengangguran Permulaan minggu 17 Disember, diikuti dengan angka inflasi dari Malaysia, Singapura dan Jepun, manakala China juga akan mengumumkan Kadar Utama Pinjaman Disember.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2644/2701 daripada 3.2633/2674 pada penutup Isnin.

Walau bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3792/3877 daripada 5.4043/4104 semalam, menambah berbanding yen Jepun kepada 3.2257/2312 daripada 3.2515/2554 sebelum ini dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6962/7036 daripada 4.7016/7069.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini