Ringgit jatuh empat hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh empat hari berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari keempat berturut-turut hari ini, seiring dengan kebimbangan mengenai kemelesetan susulan tindakan dasar monetari yang agresif oleh bank-bank pusat utama global.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.4315/4350 berbanding dolar AS daripada 4.4250/4300 pada akhir urus niaga semalam.

Bekas pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed), William Dudley dilaporkan berkata, terdapat kemungkinan kadar faedah akan terus meningkat walaupun kadar pengangguran negara maju itu semakin terkawal.

Seorang peniaga pula berkata, pasaran lebih berhati-hati dalam sebahagian besar tempoh dagangan hari ini ketika pelabur menunggu keputusan dasar Bank of Japan (BoJ).

Malah, dalam satu keputusan yang mengejutkan, bank pusat Jepun itu berkata ia akan menaikkan julat sasaran pulangan hasil yang memberi ruang pulangan bon 10 tahun kerajaan bergerak naik turun dalam jajaran 50 mata asas sekitar sasaran sifar peratus, lebih tinggi daripada jajaran 25 mata asas sebelum ini.

Di peringkat tempatan, data terkini mengenai inflasi akan diumumkan pada minggu ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2816/2847 daripada 3.2633/2674 semalam, rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3531/3565 daripada 3.2515/2554 serta lemah berbanding euro pada 4.7133/7171 daripada 4.7016/7069.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3834/3876 daripada 5.4043/4104, semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini