Ringgit gagal kekalkan kenaikan, ditutup RM4.42 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit gagal kekalkan kenaikan, ditutup RM4.42 sedolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit gagal mengekalkan kenaikan yang dicatatkannya pada sesi dagangan awal untuk ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan sentimen yang lemah.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.4250/4300 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4220/4265 pada Jumaat minggu lalu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Bhd, Firdaos Rosli, berkata penurunan inflasi AS baru-baru ini masih dianggap kurang mencukupi untuk diambil kira oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (diselaras musiman) dan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi asas tahun ke tahun, kekal tinggi meskipun langkah agresif menaikkan kadar oleh bank pusat itu," katanya kepada Bernama.

Minggu ini, AS akan mengumumkan beberapa data ekonomi pentingnya diikuti angka inflasi oleh Malaysia, Singapura dan Jepun manakala China akan mengumumkan Kadar Utama Pinjamannya bagi bulan Disember.

Firdaos berkata, kenyataan yang membayangkan kenaikan kadar oleh pengerusi Fed, Jerome Powell semasa mesyuarat bank pusat itu minggu lalu telah menyebabkan semua bank pusat utama memutuskan untuk mengambil langkah yang sama.

Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank of England (BoE) menaikkan kadar dasar mereka masing-masing sebanyak 50 mata asas semasa mesyuarat mereka bagi bulan Disember.

"Bagaimanapun, kita juga perlu mengambil kira lonjakan kes COVID-19 di China yang mungkin menjejaskan aktiviti ekonomi global.

"Oleh itu, kami mengunjurkan ringgit didagangkan antara paras RM4.42 dan RM4.43 pada minggu ini," katanya..

Sementara itu ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.4043/4104 daripada paras penutup 5.3705/3760 pada Jumaat minggu lalu dan turun sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2633/2674 daripada 3.2531/2569.

Ringgit jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2515/2554 daripada 3.2230/2265 dan susut berbanding euro kepada 4.7016/7069 daripada 4.6926/6974 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini