Bursa Malaysia, ringgit diasak kemelut perang dan inflasi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bursa Malaysia, ringgit diasak kemelut perang dan inflasi



KUALA LUMPUR: Pada awal 2022, prospek untuk kedua-dua ringgit dan Bursa Malaysia dilihat cerah kerana ancaman pandemik sudah mula mereda.

Mata wang tempatan berada pada paras RM4.1715 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), manakala penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,549.05 ketika mengakhiri hari dagangan pertama tahun baharu.

Walaupun tercetusnya peperangan di Ukraine pada penghujung Februari, ringgit dan bursa tempatan terus berkembang maju sehinggalah trend menaik itu mula tergugat apabila AS mengambil langkah mengetatkan dasarnya dan ini menyokong dolar AS.

Tindak balas terhadap kejutan luaran secara umumnya seiring dengan situasi di luar negara, yang menyaksikan aliran keluar modal berlaku di seluruh dunia.

Ringgit menyusut nilai ke paras terendah dalam sejarah pada RM4.7465 berbanding dolar AS pada 4 November 2022, apabila inflasi mula menular ke seluruh dunia termasuk di dalam negara.

Angka itu adalah yang terburuk sejak mata wang tempatan mencatatkan paras RM4.7125 pada 9 Januari 1998 disebabkan krisis kewangan Asia.

Mata wang pound, euro dan yen adalah antara mata wang utama yang turut mencecah paras terendah baharu sepanjang masa.

Kejatuhan terbesar pasaran mata wang ini memberi tekanan kepada bank-bank pusat untuk menaikkan kadar apabila harga melonjak, termasuk di Malaysia.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, berkata selain daripada terpalit dengan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) untuk terus menaikkan kadar faedah dalam usaha membendung inflasi, mata wang tempatan turut tertekan oleh perbezaan kadar faedah yang semakin meluas antara Kadar Dana Persekutuan ( FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Fed menaikkan kadar dasar sebanyak 425 mata asas (bps) sejak Mac tahun ini berbanding kenaikan 100 mata asas dalam OPR.

Senario ini mengakibatkan julat FFR, kini pada 4.25 hingga 4.50 peratus, lebih tinggi daripada OPR pada 2.75 peratus setakat ini, dan Fed terus komited untuk mengekang inflasi yang kini masih tinggi walaupun sudah mula berkurangan sejak Julai 2022.

Pada masa yang sama, Firdaos berkata pelaburan portfolio asing yang berkurangan memasuki Malaysia sejak akhir-akhir ini turut memberi tekanan kepada ringgit.

Aliran dana asing adalah negatif dari September hingga November 2022 bagi kedua-dua pasaran bon dan ekuiti.

Beliau berkata, walaupun aliran dana asing ke dalam ekuiti untuk 11 bulan pertama 2022 positif dengan merekodkan nilai RM5.68 bilion, dalam tempoh itu juga, pelabur asing menjual pegangan bon Malaysia mereka membabitkan nilai sehingga RM12.35 bilion.

"Mata wang negara sedang pesat membangun akan terus berada di bawah tekanan kerana Fed masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk menukar pendiriannya selagi inflasi AS terus berada dalam aliran melebihi kadar sasaran 2.00 peratus," katanya kepada Bernama.

Bagi tahun 2022 setakat 23 Disember, ringgit kerugian enam peratus daripada nilainya berbanding dolar AS, manakala Bursa Malaysia pula susut 4.8 peratus.

Namun begitu, beliau berpendapat ringgit menebus kembali sedikit kerugian sejak minggu kedua November 2022, justeru menjangkakan unit tempatan itu boleh mengakhiri tahun ini dalam julat RM4.46 hingga RM4.49 berbanding dolar AS.

Sementara itu, mengambil contoh prestasi ringgit pada 19 Disember, Firdaos berkata walaupun ringgit menyusut nilai berbanding dolar Hong Kong (-6.1 peratus), dolar Singapura (-5.4 peratus) dan baht Thailand (-1.4 peratus), ia mengukuh berbanding mata wang utama lain seperti euro (0.9 peratus), yuan China (3.4 peratus), pound Britain (4.9 peratus) dan yen Jepun (11.9 peratus).

"Kita melihat aliran yang sama dengan gandingan mata wang lain seperti dolar Australia (2.1 peratus), rupiah Indonesia (3.0 peratus), won Korea Selatan (3.1 peratus) dan rupee India (4.4 peratus)," katanya.

Firdaos menambah, ringgit yang lebih lemah boleh menjadi pemangkin untuk melonjakkan pertumbuhan eksport bersih Malaysia apabila pertumbuhan import merosot.

Pada asas tahun ke tahun, pertumbuhan eksport mengatasi import buat kali pertama tahun ini pada November 2022, sekali gus mencadangkan pengembangan imbangan perdagangan yang menggalakkan dalam tempoh terdekat.

Justeru, katanya ini boleh memberi sokongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku keempat 2022 dan, seterusnya tahun penuh 2022, yang dijangka menyaksikan pertumbuhan 8.1 peratus.

"Kita meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia mencapai 4.5 peratus pada 2023, dan 4.7 peratus pada 2024.

"Sekiranya pembukaan semula ekonomi China semakin rancak, ia boleh memberikan penampan yang diperlukan untuk prospek positif ringgit bagi akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau mengunjurkan FBM KLCI akan mengakhiri tahun 2022 pada sekitar paras 1,560.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini