Prospek ringgit berbanding dolar AS lebih baik separuh kedua 2023 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Prospek ringgit berbanding dolar AS lebih baik separuh kedua 2023


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berprestasi lebih baik pada separuh kedua 2023 berbanding separuh pertama disokong keadaan ekonomi dan persekitaran politik domestik yang lebih baik, demikian mengikut penganalisis.

TA Research berkata, langkah mengetatkan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2023 dan pemilihan UMNO yang semakin hampir pada Mei 2023 boleh menjejaskan pengukuhan ringgit pada mulanya.

Walau bagaimanapun, firma pembrokeran itu berkata, keadaan ekonomi dan politik dijangka memihak kepada ringgit pada separuh kedua 2023.

Ia berkata, peningkatan beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka menyokong pengukuhan mata wang tempatan.

Katanya, momentum berterusan pertumbuhan ekonomi dan kenaikan kadar dasar faedah AS terhenti seketika pada separuh kedua 2023 dengan kemungkinan tinggi pengurangan pada 2024 akan menyokong prestasi ringgit.

"Menjelang akhir tahun depan, kami jangka ringgit ditutup pada paras RM4.20 sedolar hingga RM4.25 sedolar.

"Malah, kami juga kemajuan berterusan dicatatkan mata wang tempatan pada paras RM4.10 sedolar hingga RM4.15 sedolar dengan purata RM4.25 sedolar pada 2024," katanya dalam nota penyelidikannya.

TA Securities berkata, pemulihan aktiviti pelancongan juga akan menyokong ringgit memandangkan sektor pelancongan pernah menjadi penyumbang pertukaran asing kedua tertinggi Malaysia selepas sektor pembuatan tetapi telah merosot ke kedudukan keempat berikutan sekatan dan kawalan perjalanan selepas COVID-19 melanda.

Ia berkata, kembalinya pelancong asing akan terus menyokong pemulihan ekonomi berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022.

Malah, jelasnya, kerajaan Malaysia menyasarkan lebih 15 juta ketibaan pelancong asing, dengan unjuran pendapatan sebanyak RM47.6 bilion tahun depan berbanding jangkaan 9.2 juta ketibaan pelancong dengan hasil RM26 bilion pada 2022.

"Terdapat kemungkinan ketibaan pelancong tahun depan untuk melepasi unjuran kerajaan jika China boleh memenuhi jangkaan untuk pembukaan semula ekonomi sepenuhnya, yang juga akan meningkatkan ekonomi global dan mengurangkan kebimbangan mengenai kemelesetan," katanya.

Nilai ringgit menyusut sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku ketiga 2022 sejajar dengan mata wang serantau yang menyusut nilai pada purata 5.5 peratus.

Hal itu mencerminkan dolar AS yang terus kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Rizab Persekutuan AS dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang sederhana.

Namun begitu, pertumbuhan domestik yang kukuh mengurangkan lagi tekanan luaran terhadap penurunan nilai ringgit.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini