Ringgit kembali rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit menyusut sedikit selepas mencatatkan peningkatan semalam dan dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi dagangan Jumaat disebabkan kekurangan minat terhadap mata wang tempatan.

Selain itu dolar AS turut mengukuh didorong oleh kemungkinan satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga. .

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.4300/4380 berbanding dolar daripada penutupan Khamis 4.4215/4255.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berpendapat pertukaran mata wang asing Asia akan bergelut apabila pasaran beralih kepada penghindaran risiko berikutan terdapatnya andaian yang masih berlegar bahawa Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah secara agresif yang boleh menyebabkan ekonomi global mengalami kemelesetan.

"Walaupun unjuran jangka sederhana ringgit kekal menggalakkan, saya menjangkakan ini lebih bersifat sementara disebabkan faktor luar Asia," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan lebih tinggi sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2718/2784 daripada 3.2798/2833 berbanding penutupan Khamis dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3401/3464 daripada 3.3486/3521 sebelum ini.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain menjadi 5.3257/3354 daripada 5.3522/3571 semalam dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6909/6994 daripada 4.7085/7127 . 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini