Ringgit dijangka terus mengukuh hingga tahun hadapan - MIDF Research - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka terus mengukuh hingga tahun hadapan - MIDF Research


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan diunjurkan mengakhiri tahun ini pada RM4.35 dan terus meningkat kepada RM4.23 sedolar pada akhir tahun hadapan, demikian kata MIDF Research.

Ahli Ekonominya, Abdul Muiz Morhalim, berkata pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka positif dan lebihan akaun semasa akan menyokong prestasi mata wang tempatan menuju ke depan.

Beliau berkata, faktor luaran seperti jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) memperlahankan kenaikan kadarnya juga akan menyokong ringgit.

"Kami menjangkakan ringgit akan lebih kukuh pada nilai purata RM4.30 sedolar dan mengakhiri 2023 pada RM4.23 sedolar," katanya pada taklimat media mengenai tinjauan pasaran 2023, di sini, hari ini.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Abdul Muiz berkata, kadar penanda aras bagi pinjaman dan simpanan di negara ini itu dijangka meningkat kepada 3.00 peratus tahun depan.

Beliau berkata, pemulihan pertumbuhan ekonomi negara akan mendorong bank pusat untuk terus menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada suku pertama 2023.

Bagi inflasi pula, MIDF Research menjangkakan kadar inflasi sekitar 2.3 peratus tahun depan.

Mengenai prestasi pasaran ekuiti, Ketua Strategi MIDF Research, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin, berkata pihaknya menyasarkan Indeks FBM KLCI akan berada pada 1,700 mata pada akhir 2023, dengan nisbah pendapatan harga (PE) 15.0 kali.

Beliau berkata, pemacu utama kepada penilaian adalah peralihan tindakan Fed AS kepada kadar kenaikan kadar yang lebih perlahan apabila tekanan inflasi semakin berkurangan tahun depan.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa terdapat faktor yang mengehadkan kenaikan FBM KLCI, iaitu potensi kemelesetan dalam ekonomi terbesar dunia itu dan peningkatan konflik geopolitik.

Jelasnya, terdapat potensi ekonomi AS untuk mengalami kemelesetan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang berdasarkan sebaran negatif Perbendaharaan AS.

"Bagaimanapun, tempoh antara berakhirnya kitaran kenaikan dan kemelesetan yang semakin meningkat akan menjadi menarik bagi pasaran ekuiti," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini