Ringgit diunjur RM4.30 berbanding dolar AS akhir 2022 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur RM4.30 berbanding dolar AS akhir 2022


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengakhiri 2022 lebih kukuh kepada sekitar RM4.30 hingga RM4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sebelum terus mengukuh pada julat RM4.10 hingga RM4.20 tahun depan disokong kemerosotan mata wang serantau yang dilihat menuju ke penghujungnya.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata ringgit mengukuh pasca Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) kepada hampir lapan peratus berbanding dolar AS dan hampir tujuh peratus berbanding dolar Singapura.

Katanya, prestasi ringgit selepas berakhirnya PRU15 juga adalah lebih baik berbanding rupiah dan baht ketika baki 2022, selaras dengan tahap keyakinan pelabur ke atas mata wang Malaysia yang semakin baik.

"Melihat kepada prestasi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berbanding hasil Perbendaharaan 10 tahun AS, nilai ambang hanya 0.31 peratus pada Oktober berbanding paras lantai pada awal tahun iaitu 1.77 peratus. Pada Disember ia berada pada pada 0.51 peratus

"Apabila melihat prestasi semasa ringgit ia lebih meyakinkan dan memberi reaksi yang positif berbanding dolar AS," katanya pada sidang media maya Unjuran Akhir Tahun Pasaran Rakuten Trade, semalam.

Yee berkata, Rakuten Trade percaya ringgit akan terus mengukuh pada 2023 selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS meredakan pendirian terhadap kenaikan kadar faedah.

Sebelum ini, penganalisis menjangkakan prestasi ringgit berbanding dolar AS berada dalam momentum yang lebih positif disokong kestabilan politik domestik.

Ketua Ahli Ekonomi/Ketua Penyelidik Kumpulan AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata tumpuan kini kepada barisan Kabinet serta keputusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk usul undi percaya pada 19 Disember ini apabila Parlimen bersidang.

Selain itu, beliau berkata, ringgit juga akan disokong oleh aliran masuk portfolio dan perniagaan yang positif serta keyakinan pengguna.

Katanya, ruang ringgit mencapai paras RM4.40 berbanding dolar AS adalah dijangkakan meskipun permainan dolar masih berlarutan tetapi dijangka momentum itu akan reda.

Beliau berkata, situasi politik di Malaysia terus berada di sudut yang positif dengan skor risiko politik yang lebih baik daripada Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions).

Katanya, Fitch Solutions menaikkan skor Malaysia dalam Indeks Risiko Politik Jangka Pendeknya kepada 67.3 (daripada 100), berbanding 64.8 sebelumnya.

Ia sekali gus mencerminkan kemajuan dibuat dalam pembentukan kerajaan baharu, yang meredakan ketidaktentuan politik, jelasnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini