Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) itu meningkat lebih tinggi susulan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh beberapa bank pusat.

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.4150/4200 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4010/4080 pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kebimbangan terhadap kemelesetan global dan jangkaan kemungkinan kenaikan kadar faedah minggu ini membawa kepada sentimen risiko di pasaran Asia.

"Pasaran tempatan mengambil kira pembukaan semula China tetapi faktor itu semata-mata mungkin tidak mencukupi untuk menampung penurunan ketara eksport ke pasaran Barat sekiranya kemelesetan berlaku," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata bagi asas mingguan, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS apabila peserta pasaran bimbang terhadap prospek suram ekonomi global.

Beliau berkata para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS sementara menunggu kenyataan daripada mesyuarat itu yang akan dikeluarkan pada 14 Dis.

Selain mesyuarat FOMC, beliau berkata pergerakan ringgit akan dipengaruhi oleh pengumuman keputusan dasar monetari oleh European Central Bank (ECB) dan Bank of England (BoE).

Kekangan kewangan seterusnya akan menyeret turun lagi indeks dolar AS yang telahpun susut di bawah paras 105 yang pastinya akan memberi manfaat kepada unit tempatan.

Sementara itu, Firdaos berkata, bagi Malaysia kejelasan dasar dijangka mula terlihat dalam tempoh beberapa minggu akan datang susulan selesainya pembentukan Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar pada minggu lalu.

"Menyatukan kepentingan yang berbeza dalam kerajaan perpaduan baharu mungkin mengambil sedikit masa memandangkan perbezaan dalam komposisi Kabinet baharu," katanya.

Bank Islam, katanya, mengunjurkan ringgit mungkin terus mengukuh seiring dengan proses tersebut.

"Ringgit dijangka diniagakan antara paras RM 4.40 dan RM4.43 berbanding dolar AS sepanjang minggu ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4190/4251 daripada 5.3908/3994 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding euro kepada 4.6622/6675 daripada 4.6466/6540.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2641/2683 daripada 3.2545/2601 tetapi naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.2311/2350 daripada 3.2315/2369 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini