Dagangan ringgit dibuka lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) terhadap dasar monetarinya memberikan isyarat kepada minat belian yang kembali semula kepada dolar AS, kata penganalisis.

Pada 9.13 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3710/3760 berbanding dolar AS daripada 4.3715/3755 sewaktu ditutup pada Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata kenyataan Pengerusi Fed, Jerome Powell baru-baru ini menunjukkan bahawa bank pusat AS kekal komited untuk memastikan inflasi terkawal meskipun memerlukan langkah yang mungkin dianggap tidak digemari.

"Ini boleh memberikan isyarat bahawa dasar monetari AS mungkin kekal terhad untuk tempoh akan datang yang berupaya memberikan kekuaatan baharu kepada dolar AS pada beberapa hari akan datang.

"Dari sudut teknikal, dolar AS-ringgit berada dalam sokongan pada carta harian dan Indeks Kekuatan Relatif (RSI) memaparkan bacaan 31 - bacaan di bawah 30 diambil kira sebagai terlebih jual.

"Sekiranya harga berjaya melebihi 4.4060, ia mungkin akan mencatatkan aliran meningkat dalam masa beberapa hari lagi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2805/2848 daripada 3.2856/2891 sewaktu ditutup pada Selasa dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3009/3049 daripada 3.3160/3196 sebelum ini.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3086/3147 daripada 5.3258/3307 semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.6905/6959 daripada 4.6972/7015.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini