Kenaikan ringgit turunkan inflasi makanan import - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kenaikan ringgit turunkan inflasi makanan import


KUALA LUMPUR: Peningkatan pantas ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia, khususnya dari segi menjadikan inflasi makanan diimport lebih rendah.

MIDF Research dalam nota penyelidikan berkata, ia mengunjurkan ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS susulan kenaikan kadar faedah lebih perlahan yang berkemungkinan juga akan terhenti selepas Mac tahun ini.

Katanya, pengukuhan ringgit juga turut meraih momentum hasil daripada asas ekonomi domestik Malaysia yang lebih kukuh.

"Kami melihat kadar ringgit berbanding dolar AS rata-rata pada julat yang lebih tinggi iaitu RM4.20 hingga RM4.25 tahun ini daripada RM4.40 pada 2022.

"Kami mengekalkan unjuran inflasi utama pada 2.3 peratus bagi tahun ini dengan syarat bahawa mekanisme subsidi bahan api semasa kekal sebagai 'status quo'," katanya.

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2022 mereda kepada 0.2 peratus berbanding 0.3 peratus pada November 2022.

Ini disumbangkan terutamanya oleh kumpulan restoran dan hotel (0.7 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (0.5 peratus).

Mengulas mengenai inflasi di AS, MIDF Research berkata, kebanyakan kadar inflasi yang dirujuk oleh Rizab Persekutuan (Fed) meneruskan trend penyederhanaan, mencerminkan permintaan domestik yang semakin reda dalam ekonomi negara maju itu.

Katanya, perbelanjaan individu pula susut 0.2 peratus bulan ke bulan pada Disember, penurunan terbesar dalam tempoh setahun.

"Pendapatan individu meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan selaras dengan anggaran pasaran. Dengan tekanan inflasi ini, kami meramalkan Fed untuk mengurangkan kepantasan dalam kenaikan kadar faedahnya dari 50 mata asas kepada (bps) ke 25bps dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pertama tahun ini dan 25bps lagi pada Mac.

"Jangkaan pasaran pula menyaksikan kadar dana Fed akan berhenti sebanyak 5.00 hingga 5.25 peratus," katanya.

Jumaat lalu, Jabatan Perdagangan AS mengumumkan inflasi utama Fed dan perbelanjaan pengguna mencatatkan penurunan pada Disember.

Pengguna di AS mengurangkan perbelanjaan pada bulan dikaji selepas ukuran inflasi yang menjadi pertimbangan utama Fed menunjukkan bahawa kenaikan harga semakin berkurangan.

Menurut jabatan itu, perbelanjaan penggunaan individu (PCE) tidak termasuk makanan dan tenaga meningkat 4.4 peratus berbanding tahun lalu, turun dari bacaan 4.7 peratus pada November dan ia sejajar dengan anggaran Dow Jones.

Ia menjadi kadar kenaikan tahunan yang paling perlahan sejak Oktober 2021.

Secara bulanan, PCE teras meningkat 0.3 peratus yang mana ia juga selaras dengan anggaran.

Pada masa yang sama, perbelanjaan pengguna adalah kurang daripada anggaran sederhana, menunjukkan bahawa ekonomi yang perlahan pada akhir 2022, sekali gus menyumbang kepada jangkaan kemelesetan tahun ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini