Ringgit terus melonjak, cecah RM4.31 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus melonjak, cecah RM4.31 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengekalkan kekukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas data inflasi negara maju itu yang rendah membawa jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengurangkan kenaikan kadar faedah 25 mata asasnya, yang menyebabkan pengeksport Malaysia mengurangkan pegangan dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.3150/3200 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3325/3375 pada Jumaat.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama bahawa terdapat dinamik dalaman ketika ini yang mendorong ringgit bergerak lebih kukuh.

"Deposit mata wang asing dalam sistem berkurangan ketika ini daripada 16 peratus pada 2022 (2019: 4.0 peratus), dipacu oleh kekuatan dolar AS berbanding perbezaan faedah mata wang tempatan, dolar AS yang kukuh sebagai mata wang selamat dan premium risiko politik domestik yang tinggi," katanya.

Innes juga berkata, pengeksport percaya dolar AS sudah mencapai paras kemuncaknya dan menjangka ringgit meningkat di bawah paras 4.20 berbanding dolar AS pada 2023.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat kepada 5.2643/2704 berbanding pound Britain daripada paras penutup 5.2973/3035 pada Jumaat minggu lalu.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2677/2720 daripada 3.2782/2825, mengukuh berbanding euro kepada 4.6693/6747 daripada 4.6986/7040 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3616/3658 daripada 3.3703/3744 pada Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini