Dolar Singapura tertinggi dalam tempoh lima tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar Singapura tertinggi dalam tempoh lima tahun


SINGAPURA: Mata wang negara pesat membangun Asia mengukuh hari ini, dengan dolar Singapura melonjak ke paras tertinggi lima tahun, apabila kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell bahawa inflasi mulai reda berjaya meningkatkan sentimen risiko.

Dolar Singapura meningkat 0.2 peratus kepada S$1.3038 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS), paras tertinggi sejak Januari 2018 dan berada dalam trajektori meningkat tahun ini dengan jangkaan inflasi semakin reda dan langkah mengetatkan monetari kurang agresif.

"NEER (kadar tukaran efektif nominal) dolar Singapura berundur daripada kemuncak kepada titik pertengahan jalur dasar (Lembaga Monetari Singapura), satu isyarat bahawa tumpuan dasar mulai beralih daripada inflasi kepada kelembapan ekonomi," kata ahli strategi tukaran asing DBS Bank, Philip Wee.

Mata wang serantau lain termasuk peso Filipina, rupiah Indonesia dan won Korea Selatan mengukuh antara 0.7 peratus dan 1.0 peratus untuk mencecah paras tertinggi dalam tempoh beberapa bulan berbanding dolar AS.

"Peso berada dalam tekanan hebat tahun lalu apabila Fed memulakan kitaran kenaikan kadar faedah yang pantas. Kita sedang melihat kitaran berbalik sekarang ini dan peso bertindak balas seperti dijangkakan," kata ahli ekonomi kanan ING, Nicholas Mapa.

Ringgit meningkat 0.6 peratus, manakala baht Thailand menokok 0.3 peratus.

Mata wang Asia berada dalam kedudukan memberangsangkan susulan kenyataan Powell yang kurang cenderung menaikkan kadar faedah agresif seperti dibimbangkan, kata ahli strategi tukaran asing kanan Maybank, Fiona Lim.

Fed, seperti dijangkakan umum menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps) semalam, dengan Powell berkata 'proses penurunan inflasi sudah bermula', satu isyarat yang dianggap pasaran bahawa pengakhiran kitaran kenaikan kadar faedah semakin hampir.

"Walaupun Powell ada berkata beliau tidak melihat Fed akan memotong kadar faedah tahun ini, ketiadaan sebarang desakan ke atas jangkaan pasaran supaya pemotongan kadar dibuat sedikit sebanyak memberikan sokongan terhadap sentimen," kata ahli strategi mata wang OCBC, Christopher Wong.

Indeks dolar, yang mengukur mata wang AS itu berbanding enam mata wang utama, jatuh ke paras terendah sembilan bulan pada 100.80 susulan kenyataan Powell itu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini