Ringgit berpotensi terus kukuh, OPR dijangka kekal - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berpotensi terus kukuh, OPR dijangka kekal

KUALA LUMPUR: Keputusan bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) memperlahankan kenaikan kadar faedah memberi isyarat positif kepada ringgit di samping meningkatkan lagi kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan sepanjang tahun ini.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata langkah Fed melaksanakan kenaikan lebih sederhana kadar faedah memberi kesan baik kepada ringgit dan mata wang dunia yang lain kerana ia memberhentikan aliran modal ke pasaran bon AS.

Selain itu, katanya kenaikan kecil 0.25 peratus yang diumumkan Fed memberikan petunjuk bahawa kenaikan kadar faedah sudah hampir mencapai matlamat yang diinginkannya.

Beliau berkata, ia menunjukkan bahawa kadar inflasi di negara itu mulai susut dan ekonominya juga turut perlahan, justeru kenaikan tinggi kadar faedah yang berterusan dikhuatiri akan mengheret ekonomi besar dunia itu kepada kemelesetan ekonomi, sekali gus boleh menjejaskan pertumbuhan seluruh dunia.

"Namun, Fed tidak menafikan kadar faedah yang kini berada pada 4.75 peratus akan dinaikkan juga walaupun pada kadar yg kecil sekitar 0.25 peratus lagi dalam tahun ini.

"Ia memberikan kesan yang baik kepada nilai mata wang ringgit Malaysia dan mata wang dunia yang lain kerana ia memberhentikan aliran modal ke pasaran bon AS," katanya kepada BH, ketika dihubungi hari ini.

Aimi Zulhazmi berkata, pengurus dana juga akan kembali ke pasaran ekuiti negara-negara membangun termasuk Malaysia untuk mengambil peluang pelaburan pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19 berlalu.

"Pembukaan ekonomi China turut membantu kepesatan pemulihan ekonomi di rantau Asia umumnya termasuklah Malaysia. Kedua-dua faktor ini memberikan nilai berganda," katanya

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan OPR akan kekal tidak berubah pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini biarpun pendirian Fed yang 'hawkish' atau kelihatan kekal cenderung menaikkan lagi kadar faedah.

Ia percaya bahawa keputusan mengejut Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan OPR dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhirnya bulan lalu adalah isyarat untuk menghentikan kitaran normalisasi semasa yang bermula pada Mei tahun lalu.

"Walaupun keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan isyarat 'hawkish' yang konsisten daripada Pengerusi Fed, kami percaya bank pusat Malaysia berkemungkinan akan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini.

"Melangkah ke hadapan, kemungkinan keputusan perubahan kadar bergantung terutamanya pada arah aliran inflasi dan prospek pertumbuhan, serta sebarang keputusan dasar fiskal utama yang dibuat oleh kerajaan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini