Ringgit jatuh lagi, mata wang Asia turut terjejas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh lagi, mata wang Asia turut terjejas

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila pengumuman data gaji bukan ladang Amerika Syarikat AS yang kukuh menjejaskan pertukaran asing Asia, kata seorang penganalisis.

Ketua Pengarah SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata hasil Perbendaharaan AS yang melonjak tinggi dan penurunan ekuiti global selepas pengumuman data bukan gaji AS pada Jumaat minggu lalu memberikan tekanan terhadap ringgit.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.2995/3055 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2565/2610 pada Jumaat.

"Hasil Perbendaharaan AS yang tinggi berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) menghalang pelabur kembali meniagakan ringgit meskipun rangsangan kukuh daripada pembukaan semula sempadan China.

"Peningkatan risiko geopolitik selepas AS menembak jatuh belon cuaca China juga telah menjejaskan aliran di Asia," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata ekonomi China dijangka kembali mencatatkan pemulihan yang akan menyokong eksport dari Malaysia.

Innes juga berpandangan jualan ringgit ketika ini hanya sementara sahaja dan menjangka unit tempatan itu diniagakan lebih kukuh pada Mac.

Pada Jumaat minggu lalu, AS mengumumkan data gaji bukan ladang Januari yang mendedahkan 517,000 pekerjaan diwujudkan pada Januari yang seterusnya menunjukkan kekuatan berterusan pasaran buruh negara itu meskipun dasar monetarinya yang ketat.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2420/2470 daripada paras penutup 3.2475/2514 pada Jumaat minggu lalu dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2624/2672 daripada 3.3106/3147.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.1624/1696 daripada 5.2125/2180 dan menokok berbanding euro kepada 4.6065/6129 daripada 4.6519/6568.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini