Ringgit terus susut, RM4.32 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut, RM4.32 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus turun dan diniagakan rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan pagi ini.

Menurut seorang penganalisis, ini adalah disebabkan oleh langkah pelabur untuk beralih mendapatkan mata wang selamat selepas AS memberi komitmen untuk menurunkan inflasi dalam apa juga cara.

Pada 9.15 pagi, mata wang tempatan berada pada nilai 4.3230/3265 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis pada 4.3140/3185.

Dalam nota kepada Bernama, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, kenyataan terkini pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell bahawa usaha memerangi inflasi mungkin lebih lama daripada jangkaan boleh menyebabkan kadar faedah AS yang lebih tinggi sepanjang 2023.

"Dalam persekitaran kadar faedah yang kian meningkat, pelabur cenderung mendapatkan aset selamat yang memberikan hasil seperti bon AS," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2617/2648 daripada penutup Khamis pada 3.2627/2664 dan mengukuh berbanding yen Jepun untuk mencapai paras 3.2847/2879 daripada 3.2967/3006 semalam.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2369/2411 daripada 5.2381/2435 sebelum ini dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6416/6454 daripada 4.6432/6480 pada Khamis.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini