Psikologi Perjudian Dalam Perdagangan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Psikologi Perjudian Dalam Perdagangan


Ramai orang mengambil keputusan untuk mula berdagang kerana mereka fikir bahawa ia adalah cara yang mudah dan pantas untuk membuat duit. Mereka menganggap perdagangan seperti permainan, dan menjadi mangsa kepada apa yang dipanggil psikologi perjudian. Dalam artikel ini, kita akan ketahui apa itu psikologi perjudian, bagaimana ia memberi pengaruh kepada perdagangan anda dan cara untuk mengelakkannya.

Poin-poin utama

1. Psikologi perjudian membuatkan pedagang menjadi tamak dan berdagang dalam jumlah yang semakin besar tanpa berfikir dengan mendalam.

2. Perjudian sebenarnya sangat berbeza dengan perdagangan kerana ia tidak memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi.

3. Berjudi ketika berdagang akan mengakibatkan kerugian demi kerugian dan boleh menyebabkan semua dana dalam akaun pedagang lenyap terpeluap kerana rugi.

4. Bagi mengelakkan psikologi perjudian, pedagang perlu membuat kajian ke atas urus niaga perdagangan mereka dengan berhati-hati dan perlu mempunyai strategi perdagangan yang terperinci dan tegas.

Apa itu Psikologi Perjudian?

Istilah “psikologi perjudian” merujuk kepada mindset yang lazim dilihat dalam kalangan penjudi. Penjudi bertaruh duit mereka pada keputusan yang rawak dalam permainan dengan harapan untuk menang dan menggandakan wang mereka. Mereka tidak memikirkan tentang kebarangkalian untuk menang atau kalah dalam permainan itu, mahupun belajar tentang mekanisme di sebalik permainan itu untuk membangunkan strategi kemenangan.

Apa yang penjudi ambil kira hanyalah keseronokan dan keterujaan yang mereka rasakan apabila mereka mengambil risiko. Sudah tentu, mereka akan menang sekali-sekala dan merasakan ia adalah sebagai ganjaran untuk pendekatan perjudian mereka yang tidak sistematik itu. Tapi pada kebanyakan masa, penjudi akan kerugian wang mereka hanya untuk berjudi lagi dan lagi. Ini kerana peluang kemenangan yang paling tipis sekali pun sudah cukup untuk membuatkan mereka teruja dan bersedia untuk berjudi lagi. Inilah sebabnya mengapa terdapat penjudi kompulsif yang adakalanya kehilangan seluruh harta benda mereka penangan berjudi.

Malangnya, ramai pedagang baharu yang masuk ke alam perdagangan dengan mentaliti penjudi. Mereka tidak menganggap perdagangan sebagai satu kemahiran, tetapi adalah suatu cara lain untuk mereka mendapatkan kemenangan cepat dengan usaha yang sedikit. Dan pedagang yang lebih berpengalaman juga boleh terjebak ke dalam mindset ini, bila mana mereka cuba untuk mendapatkan sebanyak mungkin keuntungan dalam masa yang singkat tanpa memikirkan strategi mereka dengan mendalam. Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan yang impulsif yang biasanya akan mengakibatkan kerugian dan kadangkala mengosongkan akaun mereka.


Bagaimana Psikologi Perjudian Dizahirkan?

Terdapat beberapa tingkah laku yang mengaitkan pedagang dengan mentaliti judi.

Apabila pedagang baharu membuat keputusan untuk mula berdagang, mereka biasanya mempunyai pemahaman yang sangat samar tentang apa yang diperlukan oleh aktiviti ini. Mereka tidak mengetahui tentang strategi dan pola, analisis teknikal dan fundamental, serta bagaimana berita ekonomi dan geopolitik boleh mempengaruhi harga aset. Pada mereka, cara yang paling mudah untuk mendapatkan keuntungan adalah dengan membeli aset dan menjualnya ketika harga naik. Kadang-kadang, kaedah ini berjaya dan mereka mendapat untung, dan ini menguatkan lagi idea mereka yang menganggap perdagangan ini adalah bersifat intuitif dan boleh diramalkan.

Seperti dalam perjudian sebenar, pedagang dengan mentaliti judi cenderung untuk sentiasa membesarkan lagi saiz urusniaga mereka dengan harapan ini akan membawakan mereka lebih banyak keuntungan. Apa yang mereka terlepas pandang ialah mendagangkan aset pada satu posisi dalam jumlah yang besar juga meningkatkan risiko dan potensi mereka untuk rugi.

Strategy Martingale adalah contoh yang terbaik bagi psikologi perjudian dalam perdagangan. Strategi ini berdasarkan anggapan bahawa dengan menggandakan jumlah wang yang pedagang letakkan untuk perdagangan mereka yang seterusnya, mereka akan mempunyai 50% peluang untuk mendapatkan kembali kerugian mereka yang sebelumnya. Jika perdagangan ini tidak memihak kepada pedagang, mereka akan menggandakan jumlah aset yang didagangkan ini berulang kali, sehingga strategi berjaya dan kerugian dapat dipulihkan. Tetapi permainan berat sebelah ini boleh bertahan untuk masa yang sangat lama dan pedagang mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk kehabisan modal berbanding memulihkan kerugian.


Apakah Perbezaan Di Antara Perjudian Dan Perdagangan?

Sebab utama mengapa psikologi perjudian sangat berleluasa dalam perdagangan adalah kerana perdagangan selalu digambarkan sebagai suatu permainan oleh pihak media. Orang ramai menganggap perdagangan dan pelaburan sebagai hobi, iaitu sebagai aktiviti yang mereka lakukan ketika mereka bosan. Ramai pedagang baharu mengambil keputusan untuk mencuba hanya kerana semua orang melakukannya dan mereka juga ingin turut serta. Ini jarang berakhir dengan baik kerana perdagangan memerlukan masa dan tenaga yang banyak untuk melakukan penyelidikan dan persiapan sebelum berdagang.

Sudah semestinya, kedua-dua penjudi dan pedagang bergantung kepada kemungkinan dan kebarangkalian. Tetapi sifat kedua-dua aktiviti ini jauh berbeza, dan setiap pedagang perlu tahu apa yang membezakan perdagangan daripada perjudian.

Kawalan

Penjudi tidak memerlukan usaha yang banyak atau perlu berfikir dengan mendalam bagi setiap tindakan mereka. Mereka hanya membuat pertaruhan dan kebiasaannya mereka tidak mempunyai kawalan terhadap hasil pertaruhan tersebut.

Perdagangan pula berbeza dari segi ini. Pedagang sangat memahami bahawa setiap urusniaga perdagangan ada risikonya dan mereka boleh mengalami kerugian, tetapi mereka boleh dikatakan berupaya mengawal kesudahan urusniaga mereka. Pedagang boleh meletakkan stop order atau menutup urusniaga lebih awal daripada yang dirancangkan asalnya, untuk mengawal kerugian mereka. Pedagang juga boleh menggunakan pendekatan "tunggu dan lihat" untuk melihat sama ada pasaran bergerak ke arah yang lebih menguntungkan. Pedagang juga mempunyai beberapa pilihan agensi bagi setiap urusniaga perdagangan dan ini boleh mempengaruhi keuntungan mereka, jika mereka bertindak dengan rasional dan berfikir dengan berhati-hati sebelum bertindak.

Kemahiran

Walaupun penjudi boleh berjaya, tetapi perjudian sebenarnya sekadar permainan kebarangkalian. Ia tidak memerlukan kemahiran, pandangan yang jauh mahupun pengetahuan yang tinggi.

Lain pula dengan pedagang, mereka memerlukan kemahiran yang sangat tinggi, kebijakan dan mesti memahami bagaimana pasaran berfungsi bagi memastikan urusniaga perdagangan mereka adalah yang paling menguntungkan. Ini mengambil masa, usaha dan dedikasi untuk mempelajari tentang semua maklumat yang diperlukan bagi perdagangan, dan juga usaha keras untuk belajar menggunakan pengetahuan ini dalam dunia sebenar.

Nilai jangkaan

Tidak kira berapa kali penjudi memenangi perjudian mereka, dalam jangka masa panjang sebenarnya pihak kasino yang akan mendapat sebahagian besar keuntungan daripada perjudian itu. Kasino tahu bila waktunya mereka harus membiarkan sahaja penjudi menang supaya penjudi ini akan datang lagi dan membelanjakan wang mereka untuk berjudi. Fenomena ini dipanggil nilai jangkaan negatif atau negative expected value yang bermaksud kerugian penjudi akan sentiasa melebihi nilai kemenangan mereka.

Dalam perdagangan, nilai jangkaan positif adalah lebih mudah untuk dicapai jika pedagang mempunyai strategi perdagangan yang baik serta mempunyai pelan pengurusan risiko yang komprehensif. Inilah sebabnya terdapat ramai pedagang yang telah menjadikan perdagangan sebagai kerjaya mereka dan berjaya mendapatkan pendapatan yang stabil daripada keuntungan perdagangan mereka.

Aspek Negatif Psikologi Perjudian

Overtrading. Overtrading atau berdagang dengan berlebihan adalah tingkah laku yang diakibatkan oleh mentaliti perjudian. Ia terjadi apabila pedagang menjadi terlalu taksub untuk mencari keuntungan dan cuba untuk membuka terlalu banyak urusniaga perdagangan tanpa berfikir dengan semasak-masaknya. Tetapi dengan berbuat demikian, mereka meningkatkan risiko kehilangan modal yang mereka laburkan dalam urusniaga-urusniaga tersebut. Mereka biasanya tidak dapat menampung semua urusniaga dan berakhir dengan kerugian yang lebih banyak daripada apa yang telah mereka alami sebelum ini.

Tindakan impulsif. Psikologi perjudian membuatkan pedagang tidak berfikir secara rasional. Mereka mahu membuat duit dengan secepat mungkin dan tidak mahu membazirkan masa untuk melakukan penyelidikan ke atas urusniaga yang mereka mahu buka. Namun, sikap impulsif ini sering merugikan mereka.

Tiada pengurusan strategi dan risiko. Pedagang yang mempunyai mentaliti perjudian berpendapat bahawa usaha untuk membina strategi yang kukuh adalah sia-sia. Mereka mahu membuat duit daripada setiap urusniaga secepat mungkin. Mereka tidak menetapkan Ambilan Untung dan Renti Rugi, dengan harapan untuk mendapat kemenangan besar bagi setiap urus niaga. Tetapi pada akhirnya, tingkah laku yang tidak menentu ini tidak pernah mendapat ganjaran yang sepatutnya.

Mengejar kerugian. Mentaliti perjudian membuatkan pedagang melaksanakan lebih banyak urusniaga perdagangan secara berterusan bagi menebus kembali kerugian mereka yang sebelumnya. Tetapi ini hanya akan membesarkan lagi kebarangkalian kerugian dan kegagalan kerana tindakan mereka selalunya dilakukan tanpa strategi dan kajian.

Cara Untuk Mengatasi Psikologi Perjudian Dalam Perdagangan?

Psikologi perjudian biasanya akan mempengaruhi pedagang baharu masih mentah dan cetek pemahamannya tentang bagaimana pasaran kewangan berfungsi. Jadi, cara yang terbaik untuk mencegahnya adalah dengan mendapatkan pengetahuan tentang strategi-strategi yang paling biasa digunakan, pola, alat pengurusan risiko dsb. Ia juga sangat membantu jika anda menumpukan fokus anda kepada satu bidang sahaja (forex, saham, kripto) dan menambah baik kemahiran anda dalam bidang tersebut, daripada mencuba kesemuanya sekaligus. Terdapat banyak tutorial dan sumber dengan tips tentang cara mengurus emosi bila berdagang dan bagaimana cara menerapkan psikologi perdagangan yang betul. Anda juga boleh belajar dengan berlatih berdagang dalam jumlah yang kecil bagi mendapatkan pemahaman tentang bagaimana pasaran berfungsi secara realiti. Apabila anda telah mempunyai pengetahuan yang mencukupi, anda akhirnya boleh membangunkan strategi dan pengurusan risiko anda sendiri bagi memastikan perdagangan anda konsisten dan menguntungkan.

Kesimpulan

Mentaliti perjudian adalah "state of mind" yang merbahaya untuk pedagang kerana ia mendorong mereka mengambil keputusan yang impulsif dan tidak rasional. Bagi mengelakkannya, pedagang harus berusaha untuk membangunkan strategi perdagangan dan mematuhinya walaupun mereka teruja untuk berdagang dengan lebih banyak ataupun berdagang dengan posisi yang lebih besar. Perdagangan bukanlah permainan judi, jadi ia memerlukan kajian yang mendalam, fokus serta dedikasi daripada pedagang bagi memastikan keuntungan yang stabil.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini