Punca ringgit susut lepasi 4.50 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Punca ringgit susut lepasi 4.50 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama dunia berikutan jangkaan kenaikan agresif kadar faedah ekonomi terbesar dunia menyaksikan nilai ringgit susut melepasi 4.50 sedolar.

Pada tengahari nilai mata wang tempatan itu berada pada paras 4.52 berbanding dolar AS, susut 1.12 peratus berbanding penutup hari sebelumnya.

Sejak awal Februari lalu, ringgit sudah susut kira-kira 5.5 peratus iaitu daripada 4.22 kepada 4.52.

Kebimbangan kembali tercetus setelah Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell, dilaporkan memberitahu penggubal undang-undang AS bahawa bank pusat AS itu bersedia untuk menaikkan kadar faedah dengan lebih agresif jika petunjuk ekonomi mencadangkan langkah lebih tegas diperlukan untuk mengawal inflasi negara itu.

Kenyataan itu menyusuli data terkini yang menunjukkan peningkatan inflasi AS yang kekal tinggi pada 6.4 peratus pada bulan Januari.

Susulan itu, pelabur menjangkakan Fed akan menaikkan kadar faedahnya sehingga 50 mata asas pada bulan ini.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ketika dipetik Bernama berkata Powell masih tetap dengan pendirian kepada menaikkan kadar faedah.

"Rizab Persekutuan bersedia untuk menaikkan kadar dana Persekutuan, malah mungkin lebih tinggi daripada apa yang diharapkan oleh pasaran sekiranya data terus menunjukkan daya tahan lebih lanjut terhadap ekonomi AS.

Dalam perkembangan lain, Mohd Afzanizam turut berkata Indeks Dolar AS (DXY) telah meningkat 1.21 peratus kepada 105.616 mata.

"Justeru, ringgit dijangka berada di sisi yang lebih lemah hari ini dengan tahap rintangan semasa sekitar RM4.5293 berbanding dolar AS dan akan bergerak ke arah ini dalam jangka masa terdekat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi terhadap sekumpulan mata wang utama setakat tengahari.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3321/3410 daripada 5.3715/3739 pada hari Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.7539/7618 daripada 4.7647/7669 tetapi rendah berbanding yen menjadi 3.2813/3.2870 daripada 3.2909/2926 sebelumnya.

Kebimbangan tentang tekanan inflasi menyebabkan dolar AS mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia setelah laporan baru-baru ini bahawa Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), yang man menjadi petunjuk utama inflasi oleh Rizab Persekutuan, meningkat kepada 0.6% untuk Januari dan harga naik 4.7% berbanding tahun lalu.

Inflasi yang tinggi akan memaksa Fed untuk terus menaikkan kadar faedah dan mengekalkannya sepanjang tahun.

Sebelum ini, penurunan harga komoditi pada tahun lalu menyebabkan ramai pelabur percaya inflasi akan reda dan kemelesetan ekonomi utama tidak akan berlaku.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini