Ringgit jatuh mendadak, RM4.52 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh mendadak, RM4.52 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susut daripada kenaikan dua hari lalu susulan bayangan kenaikan lagi kadar faedah oleh pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.5230/5265 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4710/4730 pada Selasa.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasaran akan terus memantau kenyataan daripada Powell di Dewan Perwaklian AS lewat malam ini.

"Kemungkinan besar nada yang sama, iaitu dasar monetari AS yang lebih ketat," katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai prestasi ringgit yang melepasi paras RM4.50 berbanding dolar AS ketika ini dan impaknya terhadap ekonomi Malaysia, beliau berkata, ringgit yang lemah bermakna harga eksport yang lebih murah yang seterusnya akan membantu daya saing negara.

"Bagaimanapun, ringgit yang rendah bermakna harga import yang tinggi dan akan memburukkan lagi inflasi," katanya.

Mengenai sama ada prestasi lemah ringgit itu akan memberi kesan kepada Kadar Dasar Semalam (OPR) menjelang mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis, beliau berkata secara teorinya, kadar faedah tinggi akan membantu meningkatkan daya tarikan ringgit kerana ia boleh menawarkan pulangan tinggi.

Pengarah urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit menyusut susulan jangkaan kenaikan lagi kadar faedah Fed selepas kenyataan Powell kepada Kongres membayangkan kemungkinan kenaikan kadar yang lebih pantas.

"Ini adalah impak yang buruk bagi ringgit kerana hasil jangka pendek AS yang tinggi bukan sahaja akan menyokong dolar AS tetapi ia juga menjadi lebih menarik kepada pelabur jangka panjang yang masih melihat mata wang Asia sebagai berisiko," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali euro.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2880/2908 daripada 3.2909/2926 pada Selasa dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3530/3571 daripada 5.3715/3739 tetapi susut sedikit berbanding euro kepada 4.7650/7687 daripada 4.7647/7669.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3397/3428 daripada 3.3210/3229, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 292.90/293.30 daripada 290.90/291.1 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.19 daripada 8.12/8.13.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 12.8912/9070 daripada 12.9332/9453.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini