Ringgit naik sedikit menjelang laporan inflasi AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit naik sedikit menjelang laporan inflasi AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini menjelang pengeluaran laporan inflasi AS untuk bulan Februari minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.5120/5175 berbanding dolar AS daripada penutupan urus niaga Jumaat pada paras 4.5180/5220.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan dan teras dijangka meningkat masing-masing 6.0 peratus dan 5.5 peratus pada bulan Februari berbanding 6.4 peratus dan 5.6 peratus pada bulan sebelumnya berdasarkan anggaran konsensus.

"Nampaknya trend disinflasi dijangka berterusan walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

"Dari sudut pasaran mata wang, ini akan terus menyokong dolar AS dalam tempoh terdekat kerana ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan bermesyuarat minggu depan," katanya kepada Bernama.

Beliau turut menambah gandingan dolar AS/ringgit diunjur kekal sekitar RM4.50, dengan tahap rintangan dan sokongan masing-masing pada RM4.5328 dan RM4.4659.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3574/3620 daripada 3.3038/3070 pada penutup Jumaat, turun berbanding pound Britain kepada 5.4469/4535 daripada 5.4148/4196 sebelumnya dan lemah berbanding euro kepada 4.8193/8251 daripada 4.7823/7865.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan itu lebih rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9842/13.0075 daripada 12.8894/9064 pada Jumaat dan turun berbanding dolar Singapura menjadi 3.3420/3463 daripada 3.3316/3351 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 291.90/292.50 daripada 292.30/292.80, manakala tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.19/8.21 daripada 8.19/8.20 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini