Ringgit pulih sedikit selepas jatuh dengan mendadak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit pulih sedikit selepas jatuh dengan mendadak


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, meningkat semula daripada kejatuhan mendadak semalam selepas mata wang negara maju itu melonjak berikutan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan kadar faedah.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.5190/5235 berbanding dolar AS daripada 4.5230/5265 pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit mungkin kembali kepada kedudukan sebelumnya selepas mencatatkan penurunan.

"Bagaimanapun, pelabur akan terus berhati-hati tanpa mengira aspek kestabilan ringgit pada hari ini," katanya kepada Bernama.

Innes berkata, Fed masih berdepan dengan gabungan luar biasa kekuatan dan kelemahan pasaran buruh dalam sektor yang paling sensitif kepada kadar faedah seperti perumahan.

"Walaupun Fed diminta untuk menyelesaikan isu bekalan buruh struktur, malangnya bagi pelabur Asia, Fed dilihat bersedia untuk menaikkan kadar faedah bagi mengurangkan inflasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka kekal rendah dan terus berada pada sekitar paras halangan segera pada RM4.5293.

"Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini akan memberi lebih banyak warna kepada Kadar Dasar Semalaman. Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil hari ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound apabila ia meningkat kepada 5.3528/3581 pada pagi ini daripada 5.3530/3571 semalam.

Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2993/3028 daripada 3.2880/2908 pada Rabu dan berkurangan berbanding euro kepada 4.7662/7709 daripada 4.7650/7687 semalam.

Sebaliknya, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN, kecuali baht Thai.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3388/3426 daripada 3.3397/3428 pada Rabu, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 292.7/293.1 daripada 292.9/293.3 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 8.17/8.18 daripada 8.18/8.19 sebelum ini.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding baht Thai kepada 12.8985/9169 daripada 12.8912/9070 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini