Ringgit jatuh kepada RM4.44 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh kepada RM4.44 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit susut daripada kenaikannya terdahulu untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah jangka kenaikan kadar faedah AS.

Pada 6 petang,April 25, 2023, mata wang tempatan turun kepada 4.4480/4520 daripada paras penutup 4.4350/4395 pada Khamis minggu lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mata wang tempatan lemah berbanding mata wang utama seperti dolar AS, euro dan pound Britain.

"Bank pusat utama seperti European Central Bank (ECB) dan Bank of England (BoE) dijangka mengekalkan pendirian menaikkan kadar faedah mereka memandangkan kadar inflasi masih lagi tinggi di tengah-tengah kekangan pasaran buruh, membayangkan gaji masih meningkat pada kadar yang baik.

"Justeru, bank-bank pusat masih terus berhati-hati dengan usaha mereka untuk mengurangkan tekanan inflasi yang kelaknya akan membawa kepada kadar dasar yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata meskipun berita mata wang domestik yang positif di Asia, pertukaran asing di pasaran sedang pesat membangun Asia bergelut untuk mencatatkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS pada minggu lalu.

Begitu juga, beliau berkata ringgit gagal mencatatkan sebarang kemajuan ketara meskipun harga minyak yang tinggi.

"Dengan keadan risiko yang tidak menentu dan dagangan dolar AS yang turun naik, ringgit mungkin tidak menjadi pilihan minggu ini apabila para peniaga mengambil kira risiko kemungkinan kadar faedah yang terus meningkat sehingga selepas Mei dan peningkatan ketegangan geopolitik AS-China, yang biasanya menarik permintaan mata wang selamat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.9061/9106 daripada 4.8616/8666 pada Khamis minggu lalu, jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.3231/3264 daripada 3.2923/2958 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5462/5512 daripada 5.5127/5183.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 297.6/298.2 daripada 296.4/297.1 pada Khamis minggu lalu, turun berbanding baht Thailand kepada 12.9325/9494 daripada 12.8947/9134, jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.02 daripada 7.91/7.93 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3293/3328 daripada 3.3256/3292.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Jumaat minggu lalu dan Isnin minggu ini bersempena dengan cuti umum tambahan Hari Raya Aidilfitri.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini