Dolar AS akan terus pengaruhi pergerakan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS akan terus pengaruhi pergerakan ringgit


KUALA LUMPUR: Pergerakan dolar AS terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi mata wang lain, termasuk ringgit, demikian mengikut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenornya, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata nilai ringgit berbanding mata wang lain ditentukan oleh pasaran dan ia mencerminkan perkembangan berterusan dalam dan luar negara.

Katanya, ia terutamanya, permintaan yang lebih tinggi untuk dolar AS sebahagiannya disebabkan ketidakpastian terhadap siling hutang kerajaan AS dan data ekonomi yang mengecewakan untuk bulan April dari China.

"Sentimen terhadap ringgit turut terjejas dengan pandangan mengenai kepentingan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.

"Tambahan pula, kenaikan OPR dilakukan pada kadar yang lebih beransur-ansur berbanding dengan rakan utama dan serantau, menjadikan OPR di Malaysia paling rendah di rantau ini.

"Di bawah rejim kadar pertukaran yang fleksibel, adalah munasabah untuk menjangkakan ringgit untuk turun naik dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini bagi menjawab kritikan oleh pihak tertentu, yang antara lain mendakwa OPR tidak membantu mengukuhkan ringgit.

Mengulas lanjut Nor Shamsiah berkata, pelarasan itu perlu untuk membolehkan ekonomi domestik menyesuaikan diri dengan kejutan ekonomi dan kewangan global.

"Pada 2022, pada satu ketika ringgit pernah menyusut sebanyak 11.5 peratus di antara akhir Mac hingga awal November, sebelum mengukuh menjelang akhir tahun.

"Namun ekonomi benar berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun itu. Ini adalah bagaimana kadar pertukaran dan pasaran kewangan yang lebih mendalam menampan kita daripada kejutan luaran yang buruk," katanya.

Tambah beliau, Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka dan peranan BNM adalah untuk memastikan bahawa dalam jangka pendek, turun naik yang berlebihan terhadap ringgit dapat dibendung.

"Keutamaan dasar kini adalah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran kestabilan harga dan untuk mengukuhkan lagi asas ekonomi domestik melalui pembaharuan struktur.

"BNM kekal teguh dalam melakukan seruan dan advokasi kami terhadap pembaharuan struktur.

"Langkah ini, berbanding langkah jangka pendek atau keputusan dasar monetari, akan memberikan sokongan yang lebih berkekalan untuk ringgit," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini