Ringgit akan pulih selepas masalah global reda: BNM - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit akan pulih selepas masalah global reda: BNM


KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit akan bertambah baik apabila ketidaktentuan daripada perkembangan pasaran global semakin mereda, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, ia seterusnya akan lebih mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh.

Katanya, pergerakan dalam ringgit akan terus ditentukan pasaran dan BNM akan terus menguruskan risiko yang timbul daripada peningkatan ketidaktentuan pasaran kewangan. 

"Bagi tujuan ini, operasi pasaran BNM akan memastikan kecairan yang mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata, perkembangan berterusan dalam pasaran kewangan global telah menjejaskan sentimen pasaran.  

Ini, katanya termasuk kebuntuan dalam cadangan menaikkan had siling hutang Amerika Syarikat (AS) dan tekanan dalam sektor perbankan AS dan Eropah.  

Katanya, ia telah membawa kepada peningkatan dalam permintaan untuk aset selamat seperti dolar AS dan aliran keluar daripada kebanyakan ekonomi pasaran sedang pesat membangun apabila pelabur berusaha untuk melindungi pelaburan mereka.  

Berdasarkan perkara ini, dolar AS katanya telah mengukuh berbanding kebanyakan mata wang lain.  

"Akibatnya, ringgit, seperti kebanyakan mata wang lain, telah menghadapi tekanan susut nilai yang lebih tinggi.  

"Oleh itu, kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini tidak terhad kepada Malaysia sahaja.  

"Adalah penting untuk mempertimbangkan prestasi keseluruhan ringgit berhubung bukan sahaja dolar AS tetapi juga mata wang rakan dagangan utama lain," katanya.

Bank pusat berkata, pergerakan ringgit berbanding rakan dagangan utama mengikut kadar pertukaran efektif nominal (NEER), secara relatifnya tidak banyak berubah.

Katanya, dalam persekitaran semasa, perkembangan luaran memberi kesan yang lebih dominan terhadap prestasi ringgit.  

"Memandangkan ini, prestasi ringgit berbanding dolar AS, atau mana-mana mata wang tertentu, bukanlah gambaran keadaan ekonomi.  

"Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dalam julat 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023," katanya.

Mengulas lanjut, BNM berkata, permintaan dalam negeri akan terus memacu pertumbuhan, disokong oleh pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan kelulusan pelaburan berbilang tahun serta projek modal.

Ini, katanya termasuk pelaburan langsung asing yang diluluskan, seperti ECRL, LRT3, dan Lebuhraya Pan Borneo.  

"Pada masa yang sama, pasaran eksport Malaysia dan segmen produk yang pelbagai akan terus menyokong daya tahan sektor luar," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini