Nilai ringgit merosot tiga hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit merosot tiga hari berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutan untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari ketiga berturut-turut pada Rabu ekoran dagangan berhati-hati sebelum data inflasi AS dikeluarkan lewat malam ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4565/4605 berbanding dolar AS daripada 4.4460/4500 ketika ditutup pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kelemahan ringgit disebabkan kebimbangan mengenai inflasi memandangkan pelabur menunggu laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS.

"Data inflasi yang lebih tinggi adalah negatif untuk aset berisiko kerana akan menyebabkan kadar pasaran menolak (kemungkinan) pengurangan kadar AS untuk baki tempoh 2023 dan (ini akan) mengukuhkan dolar AS.

"Sebaliknya, jika IHP AS lebih rendah daripada konsensus maka mata wang berkaitan komoditi dijangka benar-benar meraih manfaat," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.8830/8874 daripada 4.8835/8879 ketika ditutup pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2962/2994 daripada 3.2963/2995.

Walau bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound British kepada 5.6254/6305 berbanding 5.6126/6177.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3563/3596 daripada 3.3522/3557 semalam dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 302.4/302.8 daripada 301.6/301.9.

Unit domestik juga susut berbanding baht Thailand kepada 13.2354/2528 daripada 13.1835/2016 serta turun berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.01 daripada 7.97/7.98.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini