Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini walaupun nilai dolar AS bergerak lebih kukuh apabila pelabur memberikan perhatian kepada penyelesaian rundingan berkenaan siling hutang Amerika Syarikat (AS) minggu ini.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5320/5375 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Jumaat minggu lepas pada 4.5350/5405.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen dijangka memberikan makluman terkini mengenai tarikh akhir siling hutang serta jumlah wang tunai yang boleh dibelanjakan oleh kerajaan AS untuk urusan operasinya buat masa ini.

Selain itu, beliau berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan diterbitkan pada Rabu dan pada Jumaat, pelabur sudah boleh meneliti ukuran inflasi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Gabungan penghindaran risiko dan jangkaan Fed yang lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah bermakna dolar AS akan terus disokong dengan baik hari ini.

"Kami percaya ganding dolar-ringgit AS akan diniagakan agak hampir kepada paras halangan RM4.5491 dalam tempoh semerta sehingga pelabur melihat lebih jelas mengenai kebuntuan siling hutang AS diselesaikan," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan lemah berbanding pound Britain kepada 5.6500/6569 berbanding 5.6370/6438 pada penutup Jumaat, susut berbanding euro kepada 4.9054/9114 daripada 4.8978/9037 dan turun berbanding yen Jepun pada 3.2917/2959 daripada 3.2839/2881 sebelumnya.

Berbanding mata wang ASEAN yang lain pula, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/304.0 daripada 303.6/304.2 pada penutup Jumaat dan meningkat meningkat berbanding baht Thai kepada 13.2190/2404 daripada 13.1862/2083.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut nilai menjadi 3.3728/3771 berbanding dolar Singapura daripada 3.3715/3758 sebelumnya tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.14/8.16. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini