Krisis hutang AS berisiko jadikan ringgit kian merosot - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Krisis hutang AS berisiko jadikan ringgit kian merosot


KUALA LUMPUR: Ringgit berisiko semakin merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila kebimbangan berhubung kewangan global, khususnya mengenai rundingan had siling hutang AS menjadikan mata wang negara maju itu sebagai pegangan yang selamat pada masa ini.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata walaupun AS berdepan dengan krisis hutang, namun kecelaruan dan keadaan tidak ketentuan geopolitik dunia turut menjadikan dolar AS sebagai pilihan pelaburan yang selamat.

Malah katanya, data pembukaan ekonomi China pula kurang memberangsangkan untuk setakat tahun ini, meskipun prestasi ekonomi kedua terbesar dunia itu yang diharapkan menjadi pemangkin kepada ekonomi dunia, terutama kepada negara Asia tidak mencapai kehendak penganalisis pasaran dan pengurus dana.

"Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari dan amat dipengaruhi oleh faktor global, terutama dengan apa yang berlaku di AS.

"Saya melihat aliran pasaran modal akan menuju ke AS jika dolar terus mengukuh dengan penyelesaian had hutangnya juga kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) akan mendorong kenaikan dolar AS lebih tinggi.

"Ia pasti akan melemahkan ringgit seperti mata wang dunia lain, selain menyebabkan aliran pelaburan keluar dari pasaran modal menuju ke AS.

"Namun, ia akan menyebabkan barangan dan perkhidmatan dijual dalam dolar AS dan keluaran dari negara berkenaan menjadi mahal. Peningkatan harga itu akan mencetuskan kenaikan inflasi lagi dan sukar dikawal, termasuk harga minyak mentah," katanya kepada BH.

Ringgit ketika ini berada pada kira-kira RM4.53 berbanding dolar AS.

Aimi Zulhazmi berkata, prospek ekonomi global turut melayakkan dolar AS sebagai pegangan selamat pada masa ini.

"Polemik politik di AS sekali lagi memberi kesan kepada pasaran kewangan dunia, sama ada dewan senat negara itu akan memberikan persetujuaan untuk menaikkan had hutang kerajaannya sekarang iaitu AS$31.4 trilion.

"Namun seperti biasa parti Demokrat dan Republik akan mencapai kata sepakat kerana mereka pasti tidak mahu mengheret negara kepada krisis ekonomi yang pasti akan menimbulkan kemarahan pengundi.

"Kita dapat ikuti sendiri perkembangan pasaran kewangan dunia, iaitu walaupun ada ancaman, nilai dolar AS tetap kukuh pada masa ini.

"Indeks dolar AS (DXY) berbanding enam mata wang lain meningkat kira-kira dua peratus sejak pertengahan April kepada sekitar 103, walaupun turun sekitar 10 peratus daripada paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun pada September lalu.

Aimi Zulhazmi berkata, terdapat beberapa tanda Fed mungkin perlu menaikkan kadar faedahnya semula dan faktor teknikal yang lebih berkaitan dengan kedudukan pelabur.

"Jadi, peningkatan nilai dolar AS sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan permintaan aset selamat memandangkan situasi ekonomi dunia berada di posisi 'yang tidak diketahui'," katanya.

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, kebarangkalian AS untuk gagal membayar hutangnya pada tahun ini amat rendah, namun tidak bermakna masalah ini telah selesai.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalah itu ditangguhkan ke tahun depan yang boleh memberi impak besar dalam tempoh terdekat ini.

"Oleh itu, saya tidak melihat akan berlaku impak negatif kepada ekonomi Malaysia, termasuk pasaran modal dan ringgit pada tahun ini.

"Namun, Malaysia harus bersedia untuk kekal mampan dan kukuh dari segi asas ekonominya jika berlaku sekali lagi kemelesetan global pada tahun mendatang.

"Ini kerana, hutang ekonomi global sekarang jauh lebih besar daripada 2008 iaitu tahun di mana AS mengalami krisis subprima. Ini bermakna, jika berlaku sekali lagi kemelesetan ekonomi global, impaknya lebih besar daripada yang berlaku 2008.

"Penambahbaikan yang harus dilakukan bermula sekarang ialah meneruskan reformasi sistem monetari, mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada hutang dan bon, tetapi lebih kepada menjana hasil tambahan melalui kepelbagaian sumber," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata isu berkaitan siling hutang kerajaan AS itu mula mendapat perhatian apabila seawal Januari lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini