Ringgit dijangka tidak menentu menjelang mesyuarat BNM mengenai OPR - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka tidak menentu menjelang mesyuarat BNM mengenai OPR


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam persekitaran tidak menentu di pasaran minggu depan serta menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengenai kadar dasar semalaman (OPR) pada 2 hingga 3 Mei ini.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran pertukaran asing sememangnya berdepan keadaan tidak menentu pada minggu ini selain faktor minggu dagangan singkat berikutan cuti umum.

Beliau berkata kejatuhan harga saham First Republic Bank (FRB), perdebatan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) serta data keluaran dalam negara kasar suku pertama 2023 AS yang lebih perlahan daripada jangkaan 1.1 peratus daripada 2.6 peratus pada suku sebelumnya, telah mencetuskan sentimen mengelak risiko.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata penurunan pelaburan secara ketara sebanyak 12.5 peratus juga menjadi punca pertumbuhan lebih perlahan dan sejajar dengan kenaikan agresif kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Bank-bank pusat utama seperti Fed dan Bank Pusat Eropah akan bermesyuarat bagi memutuskan dasar kadar masing-masing pada minggu depan.

"Jika mereka meneruskan kenaikan kadar faedah, ini akan menyebabkan penggajian pekerja menjadi lebih perlahan apabila perniagaan berhati-hati terhadap prospek ekonomi serta bagaimana ini boleh menjejaskan keuntungan mereka.

"Kami percaya ada kemungkinan pihak Fed cenderung menurunkan kadar faedah dalam penilaian ekonomi semasa. Jika itu berlaku, ringgit mungkin meningkat sedikit kepada sekitar RM4.45.

"Bagi Bank Negara Malaysia (BNM), kami berpendapat bank pusat itu mungkin mahu mengekalkan OPR pada 2.75 peratus susulan ketidaktentuan ekonomi yang memerlukan pendirian status-quo dalam soal dasar itu," katanya.

Bagi asas mingguan, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 4.4600/4645 berbanding 4.4350/4395 pada seminggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain daripada minggu sebelumnya, kecuali bagi yen Jepun.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.9011/9060 daripada 4.8616/8666, turun berbanding pound Britain pada 5.5558/5614 daripada 5.5127/5183, namun naik berbanding yen Jepun kepada 3.2770/2805 daripada 3.2923/2958 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu juga diniagakan rendah berbanding mata wang serantau.

Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.9/304.3 daripada 296.4/297.1, rendah berbanding peso Filipina kepada 8.05/8.06 daripada 7.91/7.93 dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0612/0801 daripada 12.8947/9134.

Ringgit juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3351/3387 daripada 3.3256/3292 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, minggu depan akan menjadi satu lagi minggu dagangan singkat bagi Malaysia dengan pasaran ditutup selama dua hari iaitu masing-masing pada 1 Mei, 2023 bersempena cuti umum Hari Pekerja dan 4 Mei, 2023 untuk Hari Wesak. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini