KUALA LUMPUR: Ringgit hari ini sekali lagi menghampiri paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Singapura apabila mencapai paras 3.3939 awal pagi tadi, sebelum pulih sedikit kepada 3.3920/3962 ketika ditutup.
Paras terendah ringgit berbanding dolar Singapura adalah pada 11 November tahun lalu dan sekali lagi memecah paras RM3.40 apabila diniagakan pada RM3.41 pada 1 Mac lalu.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata inflasi berlaku lebih tinggi serta mengejutkan dan berupaya menyebabkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) cuba memusatkan semula dolar Singapura dengan lebih kukuh.
"Pertumbuhan yang lemah di China sewajarnya menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghentikan seketika (kenaikan kadar faedah) dan mungkin mempertimbangkan pengurangan menjelang akhir tahun," katanya dipetik sebagai berkata kepada Bernama.
MAS selaku bank pusat Singapura menggunakan tukaran mata wang asing sebagai alat dasar utama untuk mengatasi masalah inflasi yang diimport.
Harga pengguna utama Singapura meningkat lima peratus pada April, lebih tinggi berbanding unjuran, demikian mengikut data rasmi.
Inflasi teras, yang tidak termasuk pengangkutan jalan raya persendirian dan kos penginapan meningkat lima peratus tahun ke tahun pada April, manakala tinjauan pendapat ahli ekonomi Reuters menjangkakan peningkatan 4.7 peratus.
Inflasi yang lebih rendah untuk elektrik, gas, makanan, runcit dan barangan lain diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi untuk perkhidmatan berkaitan perjalanan, menurut kenyataan bersama MAS dan Kementerian Perdagangan.