Ringgit menjunam sehingga RM4.57 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit menjunam sehingga RM4.57 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring dengan mata wang serantau lain di tengah-tengah peningkatan bidaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat, sementara menantikan penyelesaian terhadap isu siling hutang AS, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang Selasa, mata wang tempatan berada pada 4.5700/5750 berbanding dolar AS daripada 4.5470/5515 sewaktu ditutup pada Isnin.

"Dolar AS berada dalam kedudukan yang dominan pada masa ini berbanding mata wang Asia dan anda boleh melihat kelemahan ini dipacu oleh yuan, dengan data pertumbuhan China lebih lemah, ditambah pula dengan peningkatan risiko geopolitik selepas G7.

'Wujud kritikan terhadap China oleh kalangan pemimpin G7 yang mempertimbangkan kedua-dua risiko ketenteraan dan keselamatan siber," kata Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes kepada Bernama.

Beliau berkata, yuan yang lemah menjejaskan pertukaran asing Asia terutamanya ringgit.

Ringgit turut menyusut kepada paras terendah dalam tempoh lebih dua dekad berbanding dolar Singapura, mencapai paras 3.3939 awal hari ini, namun merosot kepada 3.3920/3962 ketika ditutup berbanding 3.3799/3835 pada penutupan semalam.

"Inflasi berlaku lebih tinggi serta mengejutkan dan berupaya menyebabkan Penguasa Kewangan Singapura cuba memusatkan semula dolar Singapura dengan lebih kukuh.

"Pertumbuhan yang lemah di China sewajarnya menyebabkan Bank Negara Malaysia untuk menghentikan seketika (kenaikan kadar faedah) dan mungkin mempertimbangkan pengurangan menjelang akhir tahun," kata Innes.

Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding pound Britain kepada 5.6577/6639 daripada 5.6578/6634 semasa ditutup pada Isnin, namun merosot berbanding euro kepada 4.9251/9305 daripada 4.9189/9238 dan ditutup rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3006/3044 daripada 3.2973/3008 semalam.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Unit tempatan itu merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 307.1/307.7 daripada 305.3/305.8 sewaktu ditutup pada Isnin, turun berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21 daripada 8.14/8.16, namun meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1712/1920 daripada 13.1950/2138.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini