Ringgit terus lemah atas paras 4.50 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus lemah atas paras 4.50 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Permintaan yang lebih baik untuk dolar AS berikutan jangkaan peningkatan hasil bon AS, menyaksikan nilai ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.5475/5520 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Isnin pada 4.5470/5515.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perutusan terbaru daripada Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen terus menunjukkan kebuntuan siling hutang berpotensi menjadi penghalang kepada ekonomi kerana kerajaan tidak akan dapat membayar semula komitmen kewangannya termasuk obligasi hutang.

"Ini mungkin menyebabkan hasil bon meningkat kerana risiko kredit untuk kerajaan AS akan melonjak.

"Justeru, ia akan terus melemahkan sentimen dalam pasaran pertukaran asing (FX), dan menjuruskan kepada permintaan yang lebih tinggi bagi dolar AS kerana pelabur mencari perlindungan daripada situasi tidak menentu yang melampau," katanya.

Mohd Afzanizam seterusnya berkata Indeks dolar AS (DXY) kekal pada paras tinggi, dengan gandingan dolar AS-ringgit semalam melepasi paras rintangan semerta RM4.5491.

"Paras rintangan seterusnya ialah pada RM4.6257 berdasarkan bacaan teknikal.

"Bagaimanapun, ringgit sudah berada pada kedudukan terlebih jual dan oleh itu, dolar-ringgit akan kekal dalam julat kecil sekitar RM4.55 kerana kami percaya mungkin terdapatnya tolak-ansur dalam kebuntuan siling hutang AS," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6548/6604 daripada 5.6578/6634 pada Isnin, meningkat berbanding euro kepada 4.9154/9203 daripada 4.9189/9238 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun pada 3.2810/2845 daripada 3.2973/3008 semalam.

Berbanding mata wang Asean yang lain pula, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 305.3/305.8 daripada penutup Isnin, meningkat kepada 3.3773/3811 daripada 3.3799/3835 berbanding dolar Singapura dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.1835/2019 daripada 13.1950/2138.

Ringgit bagaimanapun menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 berbanding 8.14/8.16 daripada penutupan Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini