Harga minyak diunjur AS$80-AS$85 setong sehingga 2025 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak diunjur AS$80-AS$85 setong sehingga 2025


KUALA LUMPUR: Harga minyak dijangka kekal dalam jajaran AS$80 hingga AS$85 setong bagi tempoh 2023 hingga 2025 ekoran gambaran ekonomi tidak menentu termasuk kebimbangan berhubung data China yang lemah, tahap siling hutang Amerika Syarikat (AS) dan pengukuhan nilai dolar AS, demikian menurut unjuran penganalisis.

RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran harga minyak pada AS$85 untuk tahun ini dan AS$80 setong masing-masing bagi 2024 dan 2025.

"Biarpun harga minyak Brent berada pada paras di bawah unjuran AS$85 setong pada suku kedua tahun ini yang sepatutnya mendatangkan risiko negatif pada unjuran setahun penuh, kami masih menjangka pasaran minyak akan bertambah baik pada separuh kedua 2023.

"Dalam laporan bulanan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bagi Mei, permintaan minyak masih diunjurkan akan meningkat sebanyak 2.3 juta tong sehari (mbpd) kepada 101.9 mbpd pada 2023.

"Walaupun angka sebegini masih berisiko dikurangkan, kami berpandangan bahawa pengaruh OPEC+ tetap lagi utuh dan strateginya untuk melindungi pasaran minyak melalui langkah pemotongan pengeluaran masih lagi berkesan," kata bank pelaburan itu dalam satu nota yang ditulis oleh penganalisis, Sean Lim dan Kasamapon Hamnilrat.

OPEC+ membuat keputusan untuk meneruskan skim pengurangan pengeluaran semasa hingga akhir tahun ini dan melanjutkan perjanjian berkenaan sehingga akhir 2024 dengan melakukan sedikit penyelarasan.

Menurut RHB Investment Bank, hal demikian akan merendahkan pengeluaran OPEC dan negara bukan OPEC masing-masing kepada 25mbpd dan 15.5mbpd pada 2024.

"Nigeria, sebagai salah satu daripada ahli anggota kartel OPEC, akan membuat pengurangan pengeluaran terbesar dengan kuota sebanyak 362,000 tong sehari (kbpd) berbanding tahap pengeluaran sukarela yang diperlukan pada 2023.

"Ini disusuli oleh Angola (175kbpd), Guinea Khatulistiwa (51kbpd), dan Kongo (51kbpd), manakala tahap pengeluaran yang diperlukan untuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditingkatkan sebanyak 200kbpd. Selain itu, Arab Saudi juga mengumumkan satu lagi pengurangan sukarela 1mbpd pada Julai," katanya.

Menurut Lim dan Kasamapon, meskipun hasil mesyuarat memutuskan untuk mengangkat usaha OPEC+ dalam menyokong dan menstabilkan pasaran minyak, RHB Investment Bank agak neutral berhubung perkembangan itu.

"Menurut OPEC, pengeluaran bagi pakatan itu berada pada 24.1mbpd. sudah ketinggalan daripada tahap pengeluaran yang diperlukan iaitu sebanyak 25mbpd. Malahan, kuota tambahan yang dilaksanakan pada April kelihatan tidak diteruskan pada 2024, tetapi sebaliknya diganti oleh penyelarasan yang dinyatakan sebelum ini.

"Oleh itu, impak pengurangan pengeluaran bersih secara tahun ke tahun yang dilaksanakan OPEC pada 2024 tidak begitu ketara, dan pasaran dipercayai tidak terlalu positif berhubung hal ini.

"Namun begitu, tiada kenyataan dibuat sama ada pemotongan sukarela sebanyak 1mbpd oleh Arab Saudi pada Julai akan dikekalkan sehingga akhir tahun ini memandangkan tahap pengeluaran yang diumumkan secara rasmi pada 2024 tidak mempertimbangkan pemotongan itu," katanya.

RHB Investment Bank berkata, walaupun keputusan mesyuarat menegaskan bahawa OPEC+ akan terus bertekad menyokong dan memberikan kestabilan kepada pasaran minyak, bank pelaburan itu mengambil pendirian yang agak neutral kerana impak yang minimum terhadap pasaran minyak.

"Kami percaya langkah pengurangan pengeluaran tambahan secara sukarela sebanyak sejuta tong sehari (1mbpd) oleh Arab Saudi akan memberikan lebih sokongan pada harga jika ia dilanjutkan sehingga akhir tahun ini," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini