Ringgit dijangka RM4.10 ke RM4.37 sedolar AS akhir 2023 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka RM4.10 ke RM4.37 sedolar AS akhir 2023


KUALA LUMPUR: Pasaran baharu muncul seperti Malaysia berpeluang meraih manfaat daripada ketidaktentuan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) meskipun ekonomi utama dunia itu selesai dengan isu menaikkan had hutang, demikian menurut penganalisis.

Presiden AS, Joe Biden telah menandatangani rang undang-undang siling hutang AS yang diluluskan Senat untuk menjadi undang-undang bagi mengelak berlaku buat pertama kali kegagalan pembayaran hutang negara itu sebelum tarikh akhir 5 Jun.

Ketua Ahli Ekonomi, Juwai IQI, Shan Saeed, berkata had siling hutang AS yang ditandatangani pada Sabtu membuka jalan untuk mengelakkan kemungkiran hutang di ekonomi utama dunia itu.

Beliau berkata, berkata dengan menaikkan had hutang yang kini berjumlah AS$31.4 trilion akan memastikan kerajaan AS boleh meminjam untuk membayar hutang dengan lancar.

Namun, katanya, masih tiada penyelesaian jangka panjang bagi mengelak kemungkiran hutang AS pada masa depan memandangkan masalah sedemikian akan muncul kembali pada 2025 dengan ketika itu jumlah hutang lebih AS$36 trilion.

"Pasaran baharu muncul seperti Malaysia, Indonesia dan lain-lain akan cenderung mendapat manfaat daripada ketidaktentuan pasaran, antaranya dari segi pengukuhan mata wang; pelaburan langsung asing (FDI); pelaburan portfolio; peluang pasaran dan pasaran komoditi.

"Kami menjangkakan ringgit akan mengekalkan kestabilan struktur untuk bergerak sekitar RM4.10 hingga RM4.37 berbanding dolar akhir tahun.

"Dolar akan menuju ke susut nilai yang ketara sebanyak lima hingga 10 peratus apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) menghentikan kenaikan kadar faedah berikutan risiko kemelesetan, sekali gus membolehkan mata wang pasaran baharu muncul mengukuh pada separuh kedua 2023," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Shan berkata, pihaknya menjangkakan FDI boleh meningkat lima hingga 10 peratus dari tahun ke tahun kerana ramai pelabur memindahkan dana ke negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Afrika.

Beliau berkata, pelabur portfolio juga sedang meninjau hasil yang mana Bursa Malaysia menyediakan peluang menarik untuk pelabur global dalam sektor penjagaan kesihatan, komoditi dan minyak.

Katanya, pasaran komoditi akan kekal memuaskan sementara negara seperti Indonesia, Malaysia dan Vietnam akan mendapat manfaat daripada pelabur yang ingin mengambil kedudukan dalam tempoh jangka panjang.

Beliau menambah bahawa ASEAN, GCC dan Afrika dilihat akan memacu prospek pertumbuhan ekonomi global.

"Kami membuat unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sekitar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. KDNK suku pertama telah mencecah 5.6 peratus yang menggambarkan trajektori pertumbuhan kekal.

"Masa depan pertumbuhan adalah Asia. ASEAN menerajui pertumbuhan ekonomi bagi Asia," katanya.

Sementara itu, Kenanga Research berkata, trajektori ringgit pada minggu ini dijangka terus dipengaruhi oleh jangkaan dasar Fed AS.

Ia berkata, beberapa speaker Fed telah mencadangkan perlunya untuk tidak menaikkan kadar pada Jun.

Selain itu, ia berkata, pasaran juga akan memantau data ekonomi China, dan ringgit bersedia untuk mendapat manfaat jika bacaan kukuh.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini