Malaysia mampu tarik pelaburan walaupun ringgit tidak menentu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Malaysia mampu tarik pelaburan walaupun ringgit tidak menentu


KUALA LUMPUR: Malaysia masih berupaya menarik Pelaburan langsung Asing (FDI) manakala asas ekonomi dan prospek jangka panjangnya kekal kukuh dan akses kepada kredit terus tersedia secara meluas untuk membiayai aktiviti ekonomi, meskipun pergerakan ringgit yang tidak menentu, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias, berkata lebihan akaun semasa atau perdagangan Malaysia kekal bertahan selama berdekad-dekad meskipun negara mencatatkan defisit belanjawan.

Beliau berkata, defisit belanjawan itu sendiri adalah dalam proses penstabilan, daripada paras tinggi lebih 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa tempoh pandemik (2020-2021), defisit belanjawan berkurangan kepada 5.6 peratus daripada KDNK pada 2022.

Defisit belanjawan, kemudiannya disasarkan pada 5.0 peratus daripada KDNK tahun ini, sekali gus menuju ke arah paras mampan sekitar 3.0 peratus hingga 3.5 peratus daripada KDNK yang disasarkan menjelang 2025.

"Selain itu, defisit belanjawan boleh dikatakan dibiayai sepenuhnya oleh hutang dalam negeri dan bukannya hutang luar, mencerminkan tahap sumber kewangan dalaman yang tinggi, hasil daripada kadar simpanan yang tinggi, satu lagi asas ekonomi yang penting," katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai penurunan nilai ringgit ketika ini.

Dilaporkan bahawa ringgit merosot 5.8 peratus pada separuh pertama 2023, mendahului penurunan dalam kalangan mata wang negara Asia sedang pesat membangun, manakala ekuiti di Malaysia dan Thailand mencatatkan kerugian terbesar dalam pasaran bercampur.

Malaysia juga terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) seperti yang ditunjukkan menerusi kelulusan FDI kukuh sejak 2021 yang mana rekod tertinggi sebanyak RM209 bilion dan kekal kukuh pada RM163 bilion pada 2022, melebihi purata RM58 bilion setahun sepanjang 2010-2019.

Bagi suku pertama 2023, FDI yang diluluskan meningkat sebanyak 52.5 peratus tahun ke tahun kepada RM37 bilion berbanding dengan RM28 bilion bagi tempoh sama pada 2022.

"Ini jelas memaparkan keyakinan terhadap asas-asas negara serta prospek bagi jangka panjang, selain insentif yang ditawarkan bagi menarik FDI berkualiti, nilai tambah tinggi, berimpak tinggi sebagaimana terbukti menerusi pengumuman pelaburan di Malaysia oleh Tesla dan Amazon serta pelan pelaburan jangka panjang lebih awal yang dinyatakan oleh Intel," kata Suhaimi.

Pada akhirnya kelak, kesemua asas-asas ini akan dicerminkan dalam penarafan kredit berdaulat Malaysia yang kini dalam kategori gred pelaburan tinggi dengan prospek stabil.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata walaupun ringgit terus dihimpit ketidaktentuan, akses kepada kredit sebaliknya kekal tersedia secara meluas berikutan keadaan bank-bank yang mempunyai mudah tunai tinggi, modal yang baik serta pengurusan risiko serba mantap.

"Oleh itu, (aspek) pengantaraan dana dapat dilaksanakan secara lancar untuk membiayai aktiviti-aktiviti ekonomi biarpun dalam keadaan ringgit yang tidak menentu. Atas alasan itu, negara ini sewajarnya mendapat kedudukan lebih baik dari segi paras ringgit," katanya.

Malah, katanya yang harus menjadi tumpuan sekarang adalah 'bagaimana kita dapat memastikan nilai ringgit dapat ditingkatkan bagi tempoh jangka panjang serta lebih mampan'.

Bagi menangani keadaan itu, beliau berpendapat ini memerlukan pembaharuan ekonomi yang membabitkan usaha bagi memacu peranan sektor swasta sebagai penggerak atau enjin pertumbuhan negara.

"Sudah pasti, peruntukan sumber perlu dikaji semula untuk mendapat daya saing. Sehubungan itu, perbelanjaan terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur sepatutnya diberikan lebih perhatian berikutan ini adalah bidang utama yang boleh memastikan Malaysia berdaya saing.

"Sekiranya Malaysia berdaya saing, dana asing akan diterima dan ini akan mewujudkan permintaan kepada ringgit yang seterusnya boleh memacu nilai ringgit yang lebih baik," katanya.

Pasaran modal Malaysia memenuhi keperluan pelabur, permintaan baik terhadap bon

"Pasaran modal Malaysia mempunyai pelabur asing yang pelbagai dan memiliki banyak sumber bagi memenuhi keperluan pelabur untuk mempelbagai," kata Suhaimi.

Dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat atau tinggi, walaupun ia secara umumnya negatif kepada ekuiti, bon mempunyai daya tarikan dari perspektif hasil, katanya.

"Oleh itu, terdapat jumlah belian asing bersih bagi ekuiti dan bon Malaysia berjumlah RM13 bilion. Setakat ini pada tahun ini kita mempunyai aliran masuk modal portfolio bersih," kata Suhaimi.

Pelabur asing bersih membeli bon Malaysia sebanyak RM15.9 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding pembelian bersih RM911 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini diterajui aliran masuk lebih tinggi daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), masing-masing berjumlah RM11.9 bilion dan RM5.4 bilion.

"Oleh itu, tidak kesemuanya buruk kepada ringgit kerana permintaan daripada dana asing untuk pasaran bon Malaysia masih baik," kata Afzanizam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini