Ringgit kembali mengukuh jika struktur ekonomi diperbaharui - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali mengukuh jika struktur ekonomi diperbaharui


KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan pembaharuan struktur ekonomi pada kadar segera untuk mengukuhkan prospek pertumbuhan dan menggalakkan lebih banyak peluang pelaburan bagi merangsang kembali nilai ringgit.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA- UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata banyak lagi usaha yang diperlukan Malaysia untuk kembali ke tahap yang boleh dibanggakan.

Beliau berkata, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini juga tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sebaliknya perlu mendapat campur tangan kerajaan.

Katanya, kelemahan ringgit adalah lebih berkaitan dengan isu struktur dan dasar seperti kecekapan dan dasar perniagaan, nilai tambah bagi eksport serta hala tuju ekonomi.

"Kita bercakap mengenai pembaharuan ekonomi sejak dahulu lagi, namun persoalannya bila ia hendak dilaksanakan, siapa yang mahu melaksanakan dan apa peruncian serta sasaran negara.

"Bagi saya, pembaharuan ekonomi sangat penting dan beberapa perkara utama yang akan dilaksanakan kerajaan iaitu Naratif Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian, semakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Belanjawan 2024 dalam beberapa bulan akan datang adalah sangat penting.

"Empat perkara ini sangat penting bagi memberikan suntikan keyakinan bagi memberitahu ke mana hala tuju kita. Ini penting bagi fasa pertama dan perlu dilaksanakan tahun ini juga," katanya selepas Forum Tinjauan Pertengahan Tahun 2023 UOB Asset Management di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, jika pembaharuan ekonomi tidak dilaksanakan, ringgit berkemungkinan akan memasuki julat ketiga yang lebih lemah nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, sejak 2005, ringgit sudah berada dalam dua julat iaitu dalam RM3 hingga RM3.80 dan naik ke julat kedua sekitar RM3.80 kepada RM4.50 atau RM4.60.

Katanya, mata wang tempatan sudah dikategorikan kepada dua jalur berbeza dan sebarang turun naik dalam kumpulan itu dianggap sebagai fenomena jangka pendek.

"Kita memberi terlalu banyak tekanan kepada BNM, ia perkara struktur. Jika anda melihat stok rizab antarabangsa, adakah kita akan melepasi bawah AS$100 bilion tidak lama lagi?

"Gandaan hutang luar negeri jangka pendek juga tidak baik, justeru saya rasa kita perlu kurangkan tekanan kepada BNM," katanya.

Menyuarakan pandangan sama, Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh pula berkata BNM sudah memberikan alat untuk melindung nilai, yang membantu menghapuskan sebahagian daripada risiko turun naik mata wang kepada perniagaan korporat, malah individu,

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya merekodkan aliran masuk portfolio asing bersih kira-kira RM13 bilion setakat tahun ini dan pelaburan langsung asing melepasi paras rekod tahun lalu.

"Saya fikir kita tidak boleh terlalu tertumpu terhadap tahap semasa kerana pada pandangan dalam tempoh enam bulan akan datang, kekuatan dolar AS akan mula berkurangan.

"Mudah-mudahan, dengan pemulihan ekonomi China, kita dapat melihat renminbi akan mula bertambah baik dan itu juga akan mempunyai sisi positif dari segi limpahannya," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini