Penggunaan mata wang kripto tak dikenali semakin meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Penggunaan mata wang kripto tak dikenali semakin meningkat


KUALA LUMPUR: Penggunaan aset maya termasuk syiling dan mata wang kripto yang tidak dikenali untuk penyamaran pembiayaan keganasan dilihat semakin meningkat, demikian kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar.

Beliau berkata, kepantasan dan berselindung di sebalik tanpa nama yang dimangkinkan oleh teknologi telah membuka kemungkinan besar kepada penjenayah menutup aktiviti kewangan mereka.

Justeru, katanya keadaan itu sudah pasti merumitkan usaha pihak berkuasa mengesan aliran dana dalam aktiviti jenayah.

"Satu cabaran ialah penggunaan aset maya tanpa nama dan sistem pembayaran dalam talian dalam aktiviti jenayah.

"Dalam penerbitan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) baru-baru ini, telah diperhatikan bahawa penggunaan aset maya, termasuk syiling atau mata wang kripto yang tidak dikenali untuk menyamarkan pembiayaan pengganas telah meningkat," katanya pada Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2023.

Marzunisham berkata, operasi jenayah terus berkembang dari saat ke saat, justeru dalam landskap yang kompleks dan tidak menentu, rejim Pengubahan Wang Haram/Pembanterasan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) yang utuh adalah kritikal.

Beliau berkata, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggarkan kira-kira AS$800 bilion hingga AS$2 trilion dicuci di seluruh dunia setiap tahun.

Jelasnya, jika diletakkan dalam perspektif mengenai akibat jenayah itu, jumlah berkenaan hampir sama dengan saiz gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara-negara ASEAN, nilai output ekonomi keseluruhan rantau.

Justeru, katanya,alat mesti disesuaikan, tetapi matlamat utama tetap sama iaitu untuk mencegah jenayah dan menguatkuasakan hukuman.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini