Ringgit lebih sensitif kepada pergerakan harga komoditi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lebih sensitif kepada pergerakan harga komoditi


KUALA LUMPUR: Ringgit lebih sensitif terhadap pergerakan harga komoditi berbanding mata wang negara Asia lain kerana peratusan perdagangan negara, khususnya eksport komoditi mencakupi sebahagian besar daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein, berkata eksport komoditi Malaysia terdiri terutamanya daripada input industri dan bukannya hasil pertanian, tidak seperti Thailand.

Eksport komoditi sumbang 70 peratus daripada lebihan perdagangan Malaysia

Beliau berkata eksport gas asli cecair (LNG), minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah adalah bersamaan dengan 70 peratus daripada lebihan perdagangan Malaysia.

"Pergerakan harga memberi kesan langsung kepada realiti dan juga persepsi asas perdagangan Malaysia dan begitu juga sentimen terhadap ringgit," katanya baru-baru ini.

Justeru, Nurhisham berkata kelemahan ringgit ketika ini berbanding mata wang serantau dan mata wang utama, sebahagiannya adalah ilusi dan sebahagiannya nyata, kerana mata wang tempatan itu mencatatkan prestasi yang sangat baik pada separuh kedua 2022, disokong oleh lonjakan harga LNG susulan perang Ukraine-Rusia dan belian panik di Eropah.

"Dengan harga kembali ke paras yang lebih stabil - harga LNG semerta Asia turun 80 peratus daripada paras kemuncak tahun lepas - ringgit kembali ke aliran semasa yang mana turut menjejaskan kebanyakan mata wang serantau berbanding dolar AS," katanya.

Bagi tempoh jangka panjang, Nurhisham percaya pengaruh berterusan eksport komoditi dalam gabungan perdagangan Malaysia akan mencetuskan lagi tekanan terhadap ringgit berbanding mata wang negara-negara bukan pengeluar komoditi.

"Fenomena ini, yang dikenali sebagai hipotesis Prebisch-Singer, menyatakan bahawa terma perdagangan antara komoditi asas berbanding barangan perkilangan akan merosot dari semasa ke semasa, kerana kecekapan dan peningkatan produktiviti mengurangkan bahagian komoditi yang digunakan dalam barangan akhir.

"Ini ditunjukkan menerusi kadar pertukaran yang semakin lemah bagi pengeluar komoditi seperti Malaysia, Australia dan Amerika Latin berbanding mata wang utama," katanya.

Bolehkan eksport tingkatkan prestasi lemah ringgit?

Nurhisham berpandangan penyelesaian praktikal jangka panjang untuk menambah baik nilai ringgit mestilah melangkaui langkah-langkah kewangan jangka pendek, seperti menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dan menambah baik nilai tokokan domestik dengan menambah lebih banyak aktiviti hiliran dalam pengeluaran komoditi.

Mengenai eksport, beliau berkata kebanyakan eksport pembuatan Malaysia merupakan sebahagian daripada rantaian nilai global manakala tokokan nilai domestik masih rendah.

"Sehubungan itu, meskipun penurunan nilai ringgit akan menjadikan eksport ''lebih murah" di pasaran global dan kemungkinan dapat menarik lebih banyak permintaan, namun itu juga menjadikan input import lebih mahal yang sekali gus mengekang peningkatan daya saing," katanya.

Beliau menjelaskan bagi eksport barangan dengan hanya 20 peratus tokokan nilai domestik (dan dengan itu mempunyai 80 peratus kandungan import) penurunan 10 peratus ringgit hanya akan meningkatkan daya saing sebanyak 2,0 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, impak utama kelemahan ringgit bukan terhadap daya saing, tetapi ke atas pekerjaan.

"Memandangkan sebahagian daripada kelemahan ringgit berpunca daripada harga komoditi yang rendah, ringgit yang lemah mengehadkan pelepasan harga rendah ini ke dalam ekonomi domestik.

"Ini membolehkan pengeluar komoditi mengekalkan hasil dan keuntungan, sekali gus mengekalkan pekerjaan, yang mana ia penting terutamanya dalam sektor perladangan memandangkan terdapat sejumlah besar pekebun kecil luar bandar yang terbabit," katanya.

Mengenai mandat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan kestabilan harga dan sektor kewangan yang stabil, Nurhisham berkata bank pusat berjaya melakukannya dengan baik, memandangkan pasaran sedang pesat membangun lain seperti Bangladesh dan Sri Lanka bergelut dengan masalah kekurangan dolar yang memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

Asas Malaysia masih positif

Beliau berkata asas negara secara umumnya positif kerana Malaysia terus menjana lebihan dagangan dan akaun semasa yang positif dalam imbangan pembayaran.

Negara memiliki aset luar yang besar yang terdiri daripada rizab antarabangsa BNM, serta pegangan aset sebenar dan kewangan oleh penduduk Malaysia.

"Pasaran juga maju kehadapan, dengan mengambil kira jangkaan peristiwa pada masa depan dan data semasa.

"Memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) berkemungkinan akan meneruskan kenaikan kadarnya, manakala prospek bagi kadar faedah pasaran negara sedang pesat membangun lebih stabil, mata wang pasaran sedang pesat membangun akan terus berada dalam tekanan sehingga Fed memberi isyarat bahawa ia akan berhenti menaikkan kadarnya," kata Nurhisham.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini