Ringgit kekal stabil di paras RM4.50 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit kekal stabil di paras RM4.50 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan pagi ini, namun lebih tinggi berbanding mata wang utama lain kerana peserta pasaran masih mengambil sikap berhati-hati terhadap langkah mengetatkan dasar monetari global.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5060/5125 berbanding dolar AS daripada 4.5050/5090 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan hari ini adalah pada keputusan Reserve Bank of Australia berhubung kadar faedah penanda aras.

"Pasaran menjangkakan kenaikan 25 mata asas dalam kadar tunai, yang kini berada pada 4.10 peratus. Walaupun kadar inflasi Australia telah menurun kepada 6.0 peratus pada suku kedua 2023 daripada 7.0 peratus sebelumnya, ia kekal lebih tinggi daripada sasaran.

"Kadar pertukaran USD/MYR mungkin boleh stabil pada paras semasa 4.50," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1619/1667 daripada 3.1658/1689 pada Isnin, mengukuh berbanding euro kepada 4.9516/9588 daripada 4.9690/9734 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7807/7891 daripada 5.7916/7968 sebelumnya.

Pada masa yang sama, unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Nilai ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3875/3926 daripada 3.3877/3910 pada penutupan urus niaga Isnin dan meningkat berbanding baht Thai pada 13.1485/1752 daripada 13.1594/1765 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding peso Filipina kepada 8.21/8.23 daripada 8.20/8.22 dan rupiah Indonesia kepada 298.7/299.3 daripada 298.6/299.1 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini