Ringgit merosot kepada RM4.55 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit merosot kepada RM4.55 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan sesi dagangan awal pagi Khamis rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila Indeks Dolar AS (DXY) menunjukkan daya tahan dan terus mengukuh.

Pada 9.06 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5590/5620 berbanding dolar AS daripada 4.5400/5450 pada penutup Rabu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.31 peratus kepada 102.62 mata semalam.

"Meskipun Fitch Rating menurunkan penarafan kedaulatan AS daripada AAA kepada AA+ semalam, perubahan dalam penarafan kredit masih belum memberi kesan kepada nilai dolar AS. Ini walaupun risiko kredit yang dikaitkan dengan negara telah meningkat," katanya kepada Bernama .

Menurut Mohd Afzanizam, aset bebas risiko seperti sekuriti Perbendaharaan AS mungkin akan menyaksikan pelarasan menaik, yang boleh memberi kesan kepada kelas aset lain, termasuk ekuiti kerana kadar diskaun yang digunakan untuk penilaian aset akan lebih tinggi.

"Situasi sebegini boleh mendorong Rizab Persekutuan untuk mengamalkan pendirian monetari yang lebih berhati-hati, yang berpotensi membawa kepada penangguhan kenaikan kadar faedah," katanya.

Bagi ringgit, beliau berkata memandangkan petunjuk bercampur-campur mengenai ekonomi dan mata wang AS, ia dijangka berlegar sekitar 4.54 hingga RM4.55 hari ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.9871/9904 daripada 4.9831/9886 pada penutup Rabu tetapi mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1817/1840 daripada 3.1824/1861 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7949/7988 daripada 5.7994/8085 sebelumnya.

Sementara itu, nilai ringgit kebanyakan agak rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Mata wang tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3967/3994 daripada 3.3944/3984 pada penutupan urus niaga Rabu, lebih rendah berbanding rupiah Indonesia menjadi 300.3/300.7 daripada 299.1/299.6 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.26 daripada 8.22/8.24.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding baht Thai pada 13.2233/2385 daripada 13.2504/2716 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini