'Ringgit perlukan pemangkin domestik' - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

'Ringgit perlukan pemangkin domestik'


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengalami turun naik sekitar RM4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan aliran itu berkemungkinan akan berterusan, melainkan terdapat pemangkin daripada pasaran domestik untuk mengukuhkan nilainya.

Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan, berkata penurunan harga minyak baru-baru ini kepada AS$82 satu tong pada 9 November juga mengakibatkan mata wang tempatan yang lemah, sejajar dengan korelasi biasa antara kedua-duanya.

"Walaupun justifikasi domestik sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mendorong lonjakan segera dalam ringgit, kami berpendapat bahawa antara faktor utama yang mempengaruhi trajektorinya ialah campur tangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Walaupun butiran khusus mengenai tindakannya tidak didedahkan, analisis kedudukan rizab mencadangkan kemungkinan campur tangan, terutamanya kerana rizab telah menyaksikan penurunan yang konsisten dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Data terkini mendedahkan pengurangan rizab sebanyak AS$3 bilion, menurun daripada AS$111.5 bilion kepada AS$108.5 bilion pada 30 Oktober. Penurunan ini menekankan usaha dan campur tangan berterusan BNM memainkan peranan penting dalam membentuk dinamik semasa ringgit," katanya kepada BH.

Govindan berkata, ringgit dijangka mencatat peningkatan beransur-ansur daripada paras semasa.

"Penurunan ketara daripada RM4.73 kepada RM4.63 dalam sehari menunjukkan momentum yang kukuh untuk mata wang tempatan. Kami mentafsirkan aliran semasa, yang dicirikan oleh empat hari kelemahan, sebagai anjakan sebelum ringgit meneruskan trajektorinya ke arah tahap yang lebih baik, berpotensi menstabilkan antara RM4.60 dan RM4.50," katanya.

Beliau berkata, walaupun pada masa ini negara tidak berada dalam krisis, kelemahan semasa dalam permintaan luar memiliki pengaruh yang ketara dengan keyakinannya adalah berdasarkan beberapa faktor, terutama prospek ekonomi domestik yang memberangsangkan pada suku terakhir dan tahun akan datang.

"Petunjuk positif termasuk jangkaan pertumbuhan dalam KDNK dan pasaran buruh yang berdaya tahan, bersama-sama dengan perkembangan menggalakkan dalam industri berkaitan pelancongan dan kestabilan harga komoditi.

"Selain itu, jangkaan optimistik pemulihan dalam prestasi perdagangan Malaysia, ditambah dengan kebangkitan semula sektor penting seperti pembuatan bersedia untuk meningkatkan sentimen keseluruhan terhadap mata wang tempatan," katanya.

Nilai ringgit merosot empat hari berturut-turut minggu lalu selepas mencatat lonjakan 4.6340 berbanding dolar AS pada awal minggu, susulan kebimbangan pasaran mata wang terhadap prospek dasar di AS kembali menjadi fokus utama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Dr Carmelo Ferlito, berkata kejatuhan ringgit selepas mencatat lonjakan ketara pada awal minggu lalu adalah disebabkan wujud beberapa ketidakpastian mengenai dasar bank pusat AS, dengan petunjuk baharu memberi gambaran lebih banyak kenaikan kadar faedah akan berlaku.

"Iklim antarabangsa yang tidak menentu dan pendirian Malaysia terhadap isu Israel-Palestin mungkin menjejaskan pergerakan ringgit.

"Saya menjangkakan ringgit akan kekal lemah, melainkan berlakunya perubahan radikal dalam hala tuju dan kejelasan dasar kerajaan.

"Negara memerlukan lebih banyak usaha dalam membina ekosistem properniagaan dan kurang perbincangan mengenai idealogi," katanya.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata penurunan ringgit berlaku apabila pendapat dalam kalangan anggota Rizab Persekutuan (Fed) masih lagi memberi gambaran bahawa mereka perlu menangani isu inflasi yang dilihat masih lagi tinggi dari sasaran dua peratus.

Justeru, katanya, situasi itu seolah-olah memberi isyarat bahawa kemungkinan kadar faedah di AS untuk dinaikkan lagi sememangnya ada.

"Di samping itu, ekonomi China juga dilihat semakin perlahan apabila risiko deflasi kian meningkat dan ini akan menyebabkan bank pusat di China akan terus mengambil pendekatan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya yang mengunjurkan ringgit mencecah sekitar RM4.65 hingga RM4.70 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini